Penjenayah rasuah licik, berpengetahuan

KUALA LUMPUR 26 April  – Penjenayah rasuah kini semakin licik dan berpengetahuan dalam mengatasi kelemahan undang-undang sedia ada, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  Azam Baki.

Katanya, era dunia tanpa sempadan dan perkembangan pesat teknologi maklumat menyebabkan tugas membanteras rasuah yang merupakan jenayah yang ‘unik’sifatnya semakin mencabar dan bertambah kompleks.

Justeru SPRM turut bergantung kepada media bagi memastikan segala informasi dan mesej anti-rasuah sampai ke setiap lapisan masyarakat di negara ini.

“Namun, elakkanlah laporan berat sebelah atau memanipulasi sesuatu isu, kerana sama ada media konvensional atau digital, prinsipnya ialah nilai sebuah berita itu terletak pada kualiti dan kredibiliti berita, bukan sensasi semata-mata,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Anugerah Media SPRM di sini.

Dalam masa sama, Azam menasihatkan masyarakat agar tidak menjadikan berita di media sosial khususnya berkaitan siasatan yang dijalankan agensi penguatkuasaan sebagai sumber utama yang boleh dipercayai.

Sebaliknya, beliau berkata, media arus perdana perlu diyakini berbanding sumber pemberitaan lain, khususnya dalam mendapatkan kebenaran berhubung perkara yang dibangkitkan di media sosial.

“Ketika ini, media arus perdana masih menjadi sumber utama dan perlu diyakini berbanding media sosial kerana kelompok media arus perdana terdiri kumpulan pengamal media yang profesional, terlatih, berlesen dan berautoriti.

“Media arus perdana turut memainkan peranan signifikan dalam menangkis penularan berita-berita palsu yang disebarkan di media sosial dan jangan pula menjadikan berita tohmahan di media sosial yang tidak pasti kesahihannya sebagai berita di arus perdana,” katanya.

Dalam pada itu, SPRM akan memastikan agenda pemantapan tata kelola serta penginstitusian integriti menjadi asas utama selain siasatan kes jenayah rasuah yang menjadi tugas agensi itu.

Menurut Azam, langkah itu selari dengan hala tuju perubahan atau ‘game changer’ seperti ditekankan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Katanya isu-isu tata kelola ini meliputi pelbagai perkara, bukan sahaja integriti atau isu-isu penyelewengan serta rasuah malah kelemahan tata kelola dalam pentadbiran.

“Dalam hal ini, Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM terus menerajui enam fungsi utama dalam mengambil alih peranan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sebelum ini,” katanya

BPGN berperanan untuk menasihati kerajaan dan melaporkan perkembangan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Katanya, pembangunan NACS melibatkan tindakan penyelarasan input dan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh bagi menggariskan hala tuju dan komitmen negara untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini hingga 2028.

Sementara itu, Azam turut menyampaikan hadiah Anugerah Media SPRM 2023, kali keempat diadakan dengan hadiah wang tunai meningkat seperti dijanjikan pada majlis yang sama di Putrajaya tahun lalu.

Pemenang tahun ini diadili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Mustapa Omar dan Penasihat Editorial BebasNews, Datuk Mohd Zaini Hassan, serta dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Jules Rahman Ong.

Salmiah Druhamad Drahsin dari Sinar Channel menang hadiah utama kategori media elektronik menerusi laporan “SPRM Ambush Raja Scammer’ manakala tempat kedua, Siti Zanariah Mohd Zin (Bernama TV) menerusi laporannya “Garapan silang idea bantu mantapkan strategi antirasuah”.

Wartawan Harian Metro Mohd Jamilul Anbia Md Denin muncul pemenang utama kategori media cetak menerusi laporannya “Pakej Beli Bayi” dan kedua dimenangi wartawan NST, Aliza Shah Muhammad Shah, Iylus Marsya Iskandar, Siti Nur Amalina Kamal dan P Kalbana melalui artikel bertajuk ‘MACC Netting More Big Fish’.

Majlis Anugerah Media SPRM 2023 turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.

Nnn

Related posts

Leave a Comment