Zahid, Muhyiddin selesai saman fitnah

KUALA LUMPUR 26 April –  Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersetuju menyelesaikan kes saman fitnah membabitkan mereka.

Dalam catatan Facebook masing-masing hari ini, Muhyiddin dan Ahmad Zahid bersetuju menyelesaikan pertikaian peribadi itu selepas mengambil kira saranan daripada Hakim Mahkamah Tinggi serta keadaan semasa negara terutamanya soal kelangsungan hidup rakyat.

“YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi dan YB Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Mohd Yassin bersetuju dan mengambil keputusan menghentikan pertikaian peribadi mereka dan prosiding Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Guaman No. WA-23CY-21-04/2022.

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi dan YB Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Mohd Yassin merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai-pegawai Mahkamah yang terlibat serta juga berharap agar Keputusan ini dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak dan tidak dijadikan bahan yang boleh menganggu-gugat kesejahteraan dan kestabilan awam serta keyakinan rakyat kepada Institusi Kehakiman Negara,” kata kenyataan berkenaan.

Saman itu difailkan pada 4 April 2022 berhubung dakwaan Muhyiddin bahawa Zahid telah meminta bantuannya untuk menyelesaikan atau menangguhkan kes perbicaraan jenayah membabitkan Presiden UMNO itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memohon perintah mahkamah agar Muhyiddin menarik balik kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.

Pengerusi BN itu juga memohon injunksi sementara agar Pengerusi Perikatan Nasional itu memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian daripada rakaman video yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah dalam portal berita dan media sosial, yang dimuat naik di Facebook PN dan saluran YouTube Astro Awani.

Menurut pernyataan tuntutan, Zahid mendakwa semasa kempen Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Mersing, di pekarangan Pusat Pembelajaran Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3, pada 16 Februari 2022, Muhyiddin telah membuat kenyataan itu dengan niat jahat terhadapnya dan pada hari yang sama rakaman video kenyataan itu disiarkan di saluran YouTube Astro Awani.

Presiden UMNO itu mendakwa kenyataan presiden Bersatu itu antara lain membayangkan bahawa plaintif telah menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan kes mahkamahnya yang sedang berjalan, bahawa dia telah meminta bantuan defendan untuk campur tangan dalam kes mahkamah dan sistem kehakiman, dan mengarahkan pembubaran DUN Johor.

Zahid mendakwa dakwaan itu adalah palsu yang bertujuan menjatuhkan reputasi dan nama baiknya.

Menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan pada 9 Mei 2022, Muhyiddin menyebut mengenai pembelaan justifikasi, yang bermakna defendan bersedia untuk membuktikan di mahkamah bahawa kenyataannya didakwa benar.

Related posts

Leave a Comment