Mod ‘keras’ hadapi manusia keras kepala

 

SIAPA mereka yang masih berdegil memenuhi jalan raya atau tertumpu di kawasan tertentu dalam kumpulan yang ramai? Adakah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini terlalu longgar bagi golongan ini? Mereka tidak faham atau buat-buat tidak faham tujuan pelaksanaan PKP ini?

Menyelak kembali peristiwa 49 tahun lalu, mungkin golongan degil seperti ini tidak pernah merasai suasana ‘perintah berkurung’ atau curfew’ pada tahun 1969. Kalaulah mereka dapat merasainya mungkin ada sedikit rasa hormat terhadap undang-undang dan peraturan demi keselamatan rakyat.

Benar pemikiran orang dahulu ketika era main cak pelong peluru buah cenerai atau main senapang pokok bemban tidak sama dengan pemikiran orang zaman gajet ini. Hidup zaman ini sentiasa dalam zon selesa dan apabila terserempak dengan situasi terkurung begini, maka timbul perasaan gelabah atau tidak selesa.

Kembali ke tahun 1969. Perintah berkurung waktu itu bukan kerana wabak penyakit tetapi perkauman. Waktu itu ketika berusia lapan tahun, nak keluar rumah pun tak berani. Ada yang gempar nanti kena tembak. Nampak trak merah Polis FRU masuk kampung, cepat-cepat menyorok. Makan apa yang ada di rumah, tidaklah seperti sekarang ada juga yang datang menghantar makanan.

Begitulah suasana perintah berkurung atau curfew suatu masa dulu. Kita hormat dan akur dengan perintah. Tidak berani menunjukkan muka di luar. Paling jauh duduk di beranda rumah, ambil angin. Kalau nampak polis cepat-cepat tunduk kepala menyorok takut kena ‘tembak’.

Tetapi hari ini, PKP boleh dianggap longgar. Masih boleh bergerak, keluar rumah tetapi terhad serta atas urusan penting. Semuanya gara-gara musuh yang tidak kelihatan dengan mata kasar. Bayangkan jika musuh itu boleh dilihat, pastinya ramai yang tidak berani keluar ‘cari penyakit’, seperti dulu nampak trak merah cepat-cepat sembunyi.

Hari ini, ramai yang masih ingkar. Apakah gelaran yang sesuai untuk golongan seperti ini lebih-lebih lagi yang berani ‘mencabar serta mengherdik’ polis dan tentera? Ketegar, degil, kurang ajar, keras kepala, biadab, pentingkan diri sendiri, tak makan saman dan apa lagi? 

Tahukah mereka apa pesanan Presiden Filipina kepada polis dan tenteranya terhadap orang yang menimbulkan masalah dan boleh mengancam pasukan keselamatan? Tembak!

Di negara kita dalam situasi genting ini,ada juga yang degil tidak boleh digertak. Jika digertak, melawan balik. Ada pula yang akan ‘membela dan membela’ mereka. Paparan video yang tular ketika ini menunjukkan pelbagai peristiwa di dalam dan di luar negara yang melibatkan orang awam dan pasukan keselamatan  ketika penguatkuasaan dilakukan. Bandingkan cara kita dan mereka di negara lain.

Kalau sudah ditegur tidak peduli, apa yang boleh dilakukan? Pasukan keselamatan kita juga punyai perasaan. Mereka juga ada keluarga yang perlu dipertahankan daripada wabak ini. Maknanya ketika mereka menguatkuasakan peraturan ini, mereka secara tidak langsung turut ‘menjaga’ keluarga mereka. Lebih penting menjaga ‘keselamatan’ negara daripada ‘musuh’ atau wabak ini.

Tanggungjawab mereka mengingatkan orang ramai yang masih langgar atau lawan perintah. Apa maksud langgar atau lawan? Bukan langgar sekatan atau lawan ‘bertengkar’ dengan polis. Bagi yang tidak reti bahasa tetapi cakap pandai, buka Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Baca apa maksud langgar dan lawan.

Lawan, boleh membawa maksud perbuatan melawan kerajaan, melawan pihak berkuasa, melawan pihak yang sah. Langgar pula membawa maksud menyalahi atau menentang undang-undang, peraturan, hukum dan lain-lain. Harap faham.

Kepada yang masih berdegil, tolonglah akur perintah demi kepentingan semua. Kita mahu hentikan rantaian Covid-19 bagi menjaga kesihatan rakyat dan ‘kesihatan negara’. Pihak berkuasa perlu lebih tegas. Orang ramai pula jangan salahkan polis atau tentera jika mereka agak kasar dan keras ketika melaksanakan tugas.

Nyatakan, polis di negara mana bersifat ‘lemah lembut’ menghadapi golongan yang degil apabila diberi nasihat serta mereka yang mengganggu tugas penjawat awam? 

Bagi fasa kedua PKP ini, polis diletakkan dalam mod ‘keras’ untuk melaksanakan pematuhan dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Kalau dahulu lembut dan nasihat, kemudian bertukar tegas, kini mod polis adalah keras. Tindakan akan terus diambil kepada sesiapa sahaja yang melanggar perintah ini,” kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 

Diharapkan orang ramai lebih memahami dan memberi sokongan kepada pihak keselamatan dalam menghadapi golongan yang keras kepala ini. Memang pelik golongan yang masih berdegil ini tidak bimbang tindakan yang telah diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi PKP. Denda dan lokap belum menakutkan.

Mungkin golongan degil ini juga boleh dikenakan tindakan melakukan kerja khidmat sosial ( bersifat membantu pihak lain) atau ‘sukarelawan’ untuk tempoh tertentu dan ‘dikurung’  di kawasan khas. Biarlah mereka tidak duduk di rumah bagi melakukan kerja-kerja sosial yang sesuai  sepanjang PKP ini. Juga beri kaunseling untuk beberapa hari.

Related posts

Leave a Comment