Muhyiddin anggap tidak bermoral

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Tindakan Peguam Negara menggunakan kuasanya mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan bagi menarik balik 47 pertuduhan jenayah terhadap Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah sesuatu yang tidak bermoral.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yang membuat dakwaan itu berkata dalam kes berkenaan Ahmad Zahid sudah didakwa di mahkamah dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dengan mengemukakan keterangan berdokumen dan 99 orang saksi.

Katanya, ini bermakna mahkamah sudah berpuas hati bahawa terdapat bukti yang berasas mengenai perlakuan jenayah itu dan mengarahkan Ahmad Zahid membela diri.

“Yang peliknya pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie memohon kepada mahkamah untuk menggugurkan pertuduhan.

Ini amatlah tidak munasabah. Adakah ini bermakna pihak pendakwaan mengakui bahawa bukti-bukti yang dikemukakan oleh mereka di mahkamah tidak boleh dipakai?

“Atau ada arahan daripada pihak atasan bahawa kes ini mesti digugurkan walau dengan apa cara sekali pun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Pada awalnya Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 10 tuduhan pecah amanah pada 2018.

Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2019 dan pada Ogos 2020, beliau didakwa dengan 12 lagi pertuduhan dan pada Januari 2021 diperintah membela diri bagi 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, jika benar ada arahan dari pihak atasan maka pengguguran pertuduhan ke atas Ahmad Zahid selepas beliau diarah membela diri di mahkamah adalah titik hitam yang amat gelap dalam sistem keadilan di negara kita.

Katanya, hal ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia yang merdeka sebelum ini.

“Perdana Menteri mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kerosakan yang sedang berlaku dalam sistem keadilan negara yang saya percaya berpunca daripada kerakusan beliau sendiri untuk mengekalkan kuasa,” katanya.

Beliau berkata, tindakan Anwar jelas membuktikan sikap munafik yang nyata manakala slogan  reformasi institusi dan tatakelola yang sering beliau laungkan hanyalah suatu pembohongan dan omongan kosong.

Menurut Muhyiddin, keputusan menggugurkan pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu pastinya menggoncang keyakinan pelabur terhadap sistem keadilan di Malaysia.

“Sudahlah seorang yang berhadapan tuduhan jenayah rasuah dilantik ke jawatan nombor dua tertinggi negara, malah pertuduhan ke atasnya juga digugurkan. Malaysia telah menjadi ‘a rogue state’ atau negara penyangak.

Sudah tiba masanya rakyat menilai semula keabsahan kerajaan perpaduan ini yang sepatutnya mendokong kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment