“Saudaraku jemaah tabligh”

MELIHAT video yang tular mengenai tindakan pihak berkuasa terpaksa menjejaki tabligh yang ‘degil’, timbul persoalan kenapa golongan berilmu seperti ini tidak memberi kerjasama. Walaupun hanya segelintir kerana ramai yang telah tampil melakukan pemeriksaan tindak-tanduk kumpulan kecil ini amat mengecewakan. Mereka tidak memikirkan kesan terhadap orang lain termasuk keluarga. Semoga lebih ramai yang tampil tanpa dipaksa. Jujurlah kepada diri sendiri dan masyarakat. Berikut tukisan @ rayuan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengenai isu ini.

ANTARA DAKWAH DAN FITNAH: 5 NASIHAT BUAT SAUDARAKU JEMAAH TABLIGH!

Amat sedih dan terkilan menyaksikan sikap segelintir yang memandang enteng dan ringan berkenaan dengan kemudaratan penularan wabak Coronavirus (Covid-19), terutamanya segelintir Ahli Jemaah Tabligh yang menyertai Himpunan Sri Petaling dan masih berdegil tidak mahu tampil bagi dilakukan ujian saringan kesihatan.

Buat Saudara-saudaraku Jemaah Tabligh,

1. Benar niat kalian adalah baik tetapi niat yang baik dalam Islam perlu diselarikan dengan tindakan yang betul selaras dengan prinsip Syariah. Ini kerana prinsip Islam menyatakan:
الغَايَةُ لاَ تُبَرِّرُ الوَسِيلَة
“Matlamat Tidak Menghalalkan Cara”

2. Benar, kalian berserah dan bertawakkal kepada Allah Yang Maha Penentu segala-galanya. Namun Syariat Allah jelas mengajar kita untuk berikhtiar sebelum bertawakkal, sebagaimana Hadis Nabi SAW:
‎عن أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ: أَعْقِلُهَا وَأَتَوَكَّلُ أَوْ أُطْلِقُهَا وَأَتَوَكَّلُ قَالَ:« اعْقِلْهَا وَتَوَكَّلْ »
“Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘Ya Rasulullah apakah aku patut mengikat untaku atau serahkan kepada Allah?’Jawab Nabi SAW: ‘Ikat dulu untamu barulah bertawakkal kepada Allah” (Riwayat Tirmizi)

3. Benar, kalian tidak gentar dengan bahaya wabak penyakit yang membinasakan kerana semua kemudaratan hanya dengan izin Allah. Namun kalian juga mesti fahami Perintah Allah dalam Al-Quran:
‎وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ
“Janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan” (Al-Baqarah:195)

4. Benar kalian tidak gentar dan malah berkeyakinan tinggi bahawa mudarat penyakit hanya datang daripada Allah semata-mata, justeru tidak sedikitpun menghalang kalian untuk bermusafir dan berhimpun. Namun, kalian mestilah bertindak berasaskan sunnah Nabi SAW yang jelas memerintahkan mereka yang berada di tempat wabak untuk tidak keluar dari kawasannya. Mereka yang sihat pula diperintahkan untuk tidak memasuki tempat yang terkena wabak:

‎إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ

Yang bermaksud: “Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

5. Akhir sekali buat saudara-saudaraku, kalian merupakan Duta-duta Agama Islam yang sedikitpun tidak aku ragui keikhlasan kalian dalam berdakwah. Namun kalian harus sentiasa membawa imej dan wajah Islam berasaskan ilmu yang benar dan bukannya menjadi asbab kepada fitnah yang lebih memudaratkan kepada Agama dan Umat.

Ayuh! Kita semua bersatu hati dan bersama-sama mematuhi perintah Kerajaan yang mengkehendaki kita melakukan penjarakan sosial dengan kekal di kediaman masing-masing. InsyaAllah dengan doa, munajat dan usaha berterusan, kita dapat mengekang penularan wabak pandemik Coronavirus ini bersama.

#StayHome
#KekaBeradadiRumah
#BersamaPerangiCoronavirus

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

19 Mac 2020

Related posts

Leave a Comment