KUALA LUMPUR 25 Mei – Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk kekal bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, bukan perkara janggal.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Onn Hafiz Ghazi, yang menegaskan pendirian itu berkata, kerajaan negeri Johor ketika ini adalah 100 peratus BN, bukannya kerajaan gabungan seperti di beberapa negeri lain.
“Dari segi kerajaan negeri Johor, ini adalah kerajaan 100 peratus BN… tiada istilah gabungan seperti disebut sebelum ini, (manakala) PN dan PH adalah pengimbang.
Jadi bila kita mahu bertanding semua 56 kerusi, itu bukan perkara janggal kerana sebelum ini pun BN bertanding di semua kerusi berkenaan dan kerajaan dibentuk sebelum PRU,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap Episod 200.
Onn Hafiz , berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira suara akar umbi dan sentimen rakyat Johor yang mahu BN bergerak secara solo di negeri berkenaan.
“Kita mendengar suara rakyat bangsa Johor dan terlalu banyak keluhan di bawah. Mereka risau jika kita tidak bertanding solo. Sebagai kerajaan yang mendengar luahan hati rakyat, kita mesti terjemahkan perkara itu melalui keputusan bertanding di semua 56 kerusi,” katanya.
Onn Hafiz berkata, Johor juga kekal satu-satunya negeri yang tidak pernah membentuk kerajaan bersama PH walaupun hubungan profesional dengan Kerajaan Persekutuan berjalan baik.
“Bagi saya, setiap negeri boleh membuat keputusan masing-masing. Di Johor, itulah keputusan kami.
“Namun begitu, hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan tetap baik dari segi profesionalisme bagi memastikan segala dasar dan program untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.
Mengulas mengenai pembubaran DUN, Onn Hafiz berkata masih terlalu awal untuk membincangkannya kerana tidak mahu mendahului Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
“Saya ada sehingga April tahun depan dan saya tidak mahu sesekali mendahului Duli Tuanku dan Pemangku Sultan,” katanya.
Mengenai persiapan pilihan raya, beliau berkata BN Johor sedang meneliti calon yang benar-benar mampu berkhidmat kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Pada PRN Ke-15, BN memenangi 40 kerusi berbanding PH (11), PN (3), PKR (1 ) dan Muda (1)
Nnnn
