Rundingan Iran-AS teratur dan membina

ISTANBUL – Rundingan dengan Iran berjalan secara teratur dan membina tetapi Amerika Syarikat (AS) menegaskan sekatan akan kekal dilaksanakan sehingga perjanjian akhir dicapai, kata Presiden Donald Trump.

Menerusi hantaran di platform media sosialnya, Truth Social, Trump berkata sekatan akan terus berkuat kuasa sepenuhnya sehingga satu perjanjian dicapai, disahkan dan ditandatangani.

“Kedua-dua pihak perlu mengambil masa secukupnya dan memastikan ia dilakukan dengan betul. Tiada ruang untuk kesilapan!” kata Trump.

Beliau turut berkata hubungan AS-Iran menjadi “lebih profesional dan produktif”, namun memberi amaran bahawa Tehran tidak boleh membangunkan atau memperoleh senjata nuklear.

Trump juga mengucapkan terima kasih kepada negara Asia Barat atas “sokongan dan kerjasama” mereka, sambil berkata penglibatan itu akan diperkukuh menerusi penyertaan lebih luas dalam Perjanjian Abraham, selain mencadangkan Iran suatu hari nanti boleh menyertai rangka kerja itu.

Beliau mengkritik perjanjian nuklear Iran 2015 dengan menyifatkannya sebagai “satu daripada perjanjian paling buruk pernah dibuat” dan sekali lagi menyalahkan pentadbiran bekas Presiden Barack Obama atas apa yang disifatkannya sebagai perjanjian lemah yang membuka laluan kepada pembangunan senjata nuklear.

Trump berkata rundingan semasa dengan Iran adalah “jauh lebih baik” dan sebahagian daripada pendekatan lebih berkesan, sambil menegaskan proses yang sedang berlangsung itu akan menghalang Tehran daripada memperoleh senjata nuklear.

Dalam pada itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pada berkata bahawa kemajuan telah dicapai berhubung “rangka kerja” untuk membuka Selat Hormuz “tanpa tol”, namun ia memerlukan ‘penerimaan penuh dan pematuhan oleh Iran.

“Beberapa kemajuan telah dicapai, kemajuan yang ketara, walaupun ia belum lagi muktamad,” kata Rubio kepada pemberita di ibu negara India, New Delhi, merujuk kepada rundingan tidak langsung yang sedang berlangsung antara AS dan Iran, dengan Pakistan bertindak sebagai perantara.

Mengenai Selat Hormuz, Rubio berkata: “Ini adalah laluan air antarabangsa. Mereka tidak memilikinya. Ia adalah laluan air antarabangsa.”

Sambil menekankan penyelesaian diplomatik, Rubio berkata AS telah “mencapai beberapa kemajuan dalam tempoh 48 jam yang lalu hasil kerjasama dengan rakan kongsi kami di rantau Teluk berhubung satu rangka kerja”.

Rangka kerja itu, tambah beliau, “berpotensi, jika berjaya, bukan sahaja akan membolehkan selat dibuka sepenuhnya malah turut menangani beberapa perkara utama yang menjadi asas kepada cita-cita Iran untuk memiliki senjata nuklear pada masa lalu.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment