RM593 juta beli alat rawat Covid-19

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Kementerian Kesihatan (KKM) membelanjakan sekurang-kurangnya RM593 juta sejak 2020 sehingga sekarang untuk membeli peralatan tambahan bagi merawat kes-kes kritikal akibat jangkitan Covid-19.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, perbelanjaan tersebut meliputi pembelian seperti katil Unit Rawatan Rapi (ICU), ventilator dan peralatan perubatan tambahan lain bagi membolehkan rawatan yang lebih baik diberikan kepada pesakit.

“Ini (jumlah tersebut) tidak termasuk sumbangan yang kita telah terima daripada luar negara dan dalam negara. Jumlah sumbangan yang kita terima nilainya ialah RM148 juta, itu (jumlah) dari segi peralatan tambahan yang diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu-Alor Gajah) yang mahu tahu jumlah peruntukan yang digunakan untuk merawat kes-kes jangkitan Covid-19, dan berapakah kos bagi setiap kes yang diuruskan.

Bagaimanapun, Khairy memaklumkan beliau akan menjawab secara bertulis berhubung perincian kos setiap rawatan kepada pesakit yang dijangkiti Covid-19.

Sementara itu, berhubung cadangan mendirikan hospital kekal bagi menguruskan kes Covid-19 pula, Khairy berkata, setakat ini kementerian akan mengekalkan hospital penuh Covid-19 terutamanya di peringkat negeri.

Katanya, langkah tersebut akan terus dilaksanakan sehingga penularan pandemik tersebut dapat ditanggani dengan baik.

Related posts

Leave a Comment