Benarkah merokok itu haram, memudaratkan ?

AKIBAT ketagihan rokok, di Jakarta, seorang suri rumah mengemukakan tuntutan ganti rugi terhadap dua pengeluar dan pengedar rokok terkemuka, Gudang Garam dan Djarum. Akhbar The Jakarta Post melaporkan di muka hadapannya pada 10 Mac lalu, wanita berusia 50 tahun itu yang dikenali sebagai Rohayani mendakwa menjadi perokok selama 40 tahun. Akibat ketagihan atau kecanduan rokok itu, kualiti kehidupannya terjejas. Ganti rugi keseluruhan yang dikemukakan ialah sebanyak­ AS$70 juta, termasuk kos membeli rokok. Tuntutan itu berdasarkan Perkara 19 Ayat (1) Undang-Undang Nombor 8/1999 berkaitan Perlindungan­ Konsumer yang menyatakan pengeluar/pengedar bertanggungjawab memberikan ganti rugi ke atas kerosakan, pencemaran dan atau kerugian yang dihadapi pengguna akibat penggunaan barangan berkenaan.

Tuntutan itu mendakwa­ industri rokok bertindak tidak jujur termasuk berkaitan peringatan kesihatan pada bungkusan rokok yang dianggap tidak memadai untuk memberi kesedaran bahaya merokok. Begitu juga maklumat mengenai adunan rokok juga tidak disedari oleh pengguna yang semua ini dianggap satu pelanggaran atau kesalahan. Rohayani dikatakan sudah mendapatkan­ rawatan berkali-kali kerana sakit akibat merokok sejak tahun 2005. Paru-parunya dikatakan sudah rosak tetapi tetap merokok kerana ketagihan. Rohayani berkata: “Saya berharap orang lain tidak merokok. Nanti dampaknya sama seperti saya,” Apakah keberhasilan tuntutan ini?

Satu perkembangan yang menarik untuk diikuti sejauh mana, perokok benar-benar ‘dilindungi’ walaupun apa yang mereka lakukan adalah atas kehendak diri sendiri. Mungkin juga ramai yang cuba meninggalkan tabiat buruk itu tetapi seperti Rohayani, kecanduan memaksa diri seseorang terus merokok dan sukar untuk diubah lagi. Ketagihan memaksa seseorang itu tidak peduli lagi apa anggapan orang lain mengenai rokok. Fatwa mengenai rokok haram itu juga dipandang ringan dengan pelbagai andaian yang boleh ‘menghalalkan’ atau ‘mengharuskan’ yang haram. Dalam bab rokok ini, memang sukar mengisytiharkannya haram.

Dalam kalangan orang Islam, ada yang hanya sensitif mengenai halal haram makanan. Mereka gempar apabila babi yang haram menceroboh masjid tetapi selamba sahaja merokok di kawasan masjid. Berkaitan babi ini, teringat satu ceramah yang nampak lucu tetapi penuh pengajaran. Penceramah itu menceritakan asal usul rokok. Beliau mencadangkan supaya diambil seikat daun tembakau dan seikat sawi seberat lima kilogram. Kemudian campakkan daun tembakau dan sawi yang sama warnanya itu ke dalam kandang babi. Hasilnya dalam masa lima minit, sawi habis dimakan dan tidak ada babi yang mahukan daun tembakau sebaliknya dipijak-pijak menjadi lumpur. Justeru kata pence­ ramah itu, jangan biarkan babi kehairanan dengan manusia.

Satu lagi kisah yang dibawakan oleh penceramah bebas, Hussain Yee bertajuk Solat, rokok dan tandas. Katanya, kalau solat dijaga dengan betul, hasilnya dapat mencegah benda yang tidak elok. Beliau mengaitkannya de­ ngan wuduk yang memerlukan seseorang membersihkan mu-lut lebih-lebih­ lagi perokok yang mulutnya kurang wangi. Bau rokok perlu dibersihkan supaya tidak mengganggu jemaah lain. Penceramah juga bertanyakan adakah sesuai apabila ke tandas, kita membawa kacang, kuih, kek, goreng pisang, kopi O atau teh tarik untuk dimakan/minum? Jika tidak apakah yang paling sesuai dengan tandas? Jawabnya rokok. Ini menggambarkan sesuatu yang tidak elok itu hanya sesuai di tempat yang tidak elok . Soalnya lagi, apakah makanan yang tidak habis kemudian dibuang dan dipijak? Sekali lagi hanya rokok dan ini menggambarkan betapa hina dan kotornya rokok.

Mungkin perokok sukar untuk mengubah tabiat mereka kecuali boleh mengurangkannya dengan mengambil masa yang panjang. Apa pun bagi tujuan ini, pencegahan boleh dilakukan terutama dalam kalangan remaja. Ketika ini Amaran Kesihatan di kotak rokok dan kenaikan harga tidak banyak membantu perokok. Harga rokok ketika ini ialah RM17 sekotak dan mengikut sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), harga sekotak ialah RM21.50 sen.

Malangnya kenaikan harga rokok pula menyebabkan kebanjiran rokok haram atau seludup yang dijual dengan lebih murah. Begitu juga dengan pelbagai pe­ raturan seperti mewartakan kawasan atau zon larangan merokok di pelbagai premis awam. Terdapat sekurang-kurangnya 23 jenis kawasan yang diwartakan sebagai tempat dilarang merokok. Ada juga bandar bebas rokok seperti di Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Malangnya, kebanyakan perokok tidak peduli’. Akhirnya ia menjadi hiasan dalaman kedai, restoran dan tempat awam lain. Peraturan tidak seiring dengan larangan. Kadang-kadang larangan itu tidak boleh diterima akal.

Ada peraturan usia 18 tahun tidak boleh membeli rokok tetapi usia yang sama boleh menjual. Dilarang merokok di stesen minyak tetapi di kaunter bayaran masih ada rokok dijual. Di restoran termasuk nasi kandar ada kawasan larangan merokok tetapi rokok masih dijual dan ada pula bekas abuk rokok di atas meja makan. Peraturan apa ini? Dilarang tetapi digalakkan melanggar larangan.

Di restoran, rokok mesti dibayar dahulu, mungkin sekeping roti canai terlalu murah berbanding sekotak rokok. Tidak dinafikan Kementerian Kesihatan telah mengambil pelbagai langkah dan mengatur kempen untuk mendidik masyarakat supaya tidak merokok. Hasilnya? Kempen Tak Nak diadakan sejak tahun 2004 sehingga 2016 dengan kos RM35 juta. Kempen ini kurang berjaya. Melalui Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2015 mendapati trend merokok dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas adalah 24.6 peratus berban­ding tinjauan sama pada tahun 2011 iaitu 26.4 peratus.

Kementerian Kesihatan juga mengharamkan penjualan pek rokok yang mengandungi kurang daripada 20 batang rokok yang dikenali sebagai kiddie pack. Lara­ ngan ini adalah untuk memben­ dung masalah penggunaan rokok dalam kalangan remaja. Kajian Tobacco & E-Cigarette Survey Among Malaysian Adolescents 2016 menunjukkan sebanyak 14.2 peratus remaja yang berumur 10 hingga 18 tahun merokok. Majoriti remaja ini merokok kurang da­ ripada 10 batang rokok dan dengan­ harga kurang daripada RM9. Ada juga negara-negara ASEAN yang lain mengambil langkah melarang­ pembungkusan kiddie pack.

Mengenai perokok juga, kajian pada 2003 oleh Global Youth Tobacca Survey, menunjukkan kadar merokok dalam kalangan umur 13 hingga 15 tahun adalah 20.2 peratus. Pada 2009 pula 18.2 peratus. Berikutan larangan kiddie pack pada tahun 2010, kadar merokok menurun kepada 14.8 peratus. Berkaitan jantina pula, jumlah lelaki ialah 26.1 peratus dan perempuan 20.4 peratus.

Dianggarkan terdapat lima ju­ta perokok di negara ini. Kesan buruknya bukan sahaja kepada perokok tetapi orang sekeliling yang menghidu asap rokok. Siapa pun perokok, merokok akan menyebabkan penyakit yang tidak berjangkit, bermula dari mulut hingga paru-paru dan jantung. Sebagai catatan, setahun, 20,000 kematian direkodkan akibat penyakit yang tidak berjangkit ini.

UMA120318010C#

Related posts

Leave a Comment