Peluang pilih KM baharu, Chang Yeow atau Kon Yeow

MENJELANG Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), ada beberapa orang wakil rakyat yang membayangkan mereka tidak lagi berpeluang bertanding. Ucapan mereka di Dewan Rakyat yang sedang berlangsung juga dianggap sebagai yang terakhir sebelum Parlimen dibubarkan. Mungkin ada yang sudah mendapat isyarat bahawa sesi ini adalah yang terakhir bagi mereka, maknanya tidak dipilih sebagai calon atas sebab-sebab tertentu. Tidak kurang juga yang seolah-olah ingin menarik simpati bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga kepada parti politik yang diwakili. Apa pun sebagai pemimpin politik, mereka tidak berputus asa untuk terus berkempen bagi ‘memancing’ undi demi kemenangan parti yang diwakili.

Tidak ketinggalan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pulau Pinang. Kedudukannya tidak pasti sama ada akan bertanding atau memberi laluan kepada orang lain. Jika bertanding sekali pun, beliau mungkin memberi laluan kepada orang lain kerana sudah dua penggal menerajui kerajaan negeri sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Sebelum ini, beliau memberi bayangan bahawa Pengerusi DAP Negeri, Chow Kon Yeow akan menggantikannya jika beliau disabitkan kesalahan terhadap kes rasuah yang dihadapinya. Tanpa mempedulikan tekanan pelbagai pihak supaya beliau meletak jawatan berikutan kes itu, Guan Eng nampaknya sekadar memberi bayangan jika disabitkan kesalahan.

“Kita akan lawan sampai habis. Kita tahu dia (Barisan Nasional) sasar saya. Kalau Lim Guan Eng tak ada, Chow Kon Yeow ada. Kita sedia korbankan diri kerana kita mahu selamatkan Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan 10 Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, di Padang Kota Lama baru-baru ini. Kon Yeow adalah Exco Kerajaan Negeri yang pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjong selama dua penggal. Beliau dilihat lebih layak untuk menjadi Ketua Menteri sekiranya DAP mencapai misinya untuk menawan Pulau Pinang pada tahun 2008. Penghijrahan Guan Eng ke Pulau Pinang bagaimanapun menutup peluang itu.

Untuk rekod, perbicaraan kes rasuah Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung pembelian banglo di bawah harga pasaran ditetapkan selama 23 hari bermula 26 Mac ini di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Keputusannya, belum pasti. Entah bila, sama ada bersalah atau tidak. Guan Eng tidak perlu gusar. Bukan kali pertama, beliau berhadapan dengan isu yang dianggap ‘kritikal’ menjelang PRU. Apa yang pasti, Guan Eng mahu DAP mempertahankan Pulau Pinang untuk penggal ketiga. Biar pun diselubungi dengan pelbagai isu di bawah pentadbirannya sejak akhir-akhir ini, beliau nampaknya tidak pernah gentar. Guan Eng masih ceria menyanyikan lagu menghentam GST yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) bersama kanak-kanak. Keceriaannya jauh berbeza dengan wajah sedihnya semasa merayu bantuan kerajaan Pusat apabila negeri itu dilanda banjir luar biasa. Walaupun ada pemerhati politik yang menjangkakan peluang DAP masih ada tetapi keyakinan BN untuk mengambil semula negeri itu tidak dipandang rendah.

Maka tidak hairanlah, beliau menegaskan bahawa DAP akan bekerja lebih keras untuk memastikan
Pulau Pinang kekal milik parti itu. Mengakui bahawa BN sudah membuat banyak persiapan, DAP dan sekutunya juga akan menghadapi PRU ini dengan lebih serius. Tidak ada parti politik yang berada di tampuk kuasa rela melepaskan kuasa dengan begitu mudah. Ketika ini DAP menguasai 19 kerusi sementara sekutu rapatnya, PKR 10 kerusi, sama seperti BN dan satu lagi kerusi diwakili oleh Pas. Kali ini, DAP kehilangan sokongan Pas tetapi mendapat kawan baharu iaitu PAN dan PPBM. Adakah sokongan kepada DAP akan bertambah dengan kehadiran Mohamad Sabu, orang kuat Guan Eng sebagai pemimpin PAN? Kedudukan DAP tergugat sekiranya komponen BN iaitu UMNO mampu memperbaiki pencapaian dengan memenangi lebih 10 kerusi dan dibantu pula oleh Gerakan, MCA dan MIC. Dalam hal ini, UMNO tidak boleh ambil mudah dan jangan kehilangan kerusi yang ada
serta mengambil satu, dua atau tiga lagi kerusi tambahan.

Situasi UMNO mendahului komponen lain pernah berlaku ketika era pemerintahan Gerakan yang membawa kepada wujudnya jawatan timbalan ketua menteri (TKM). UMNO ketika itu tidak tamak kuasa untuk menduduki kerusi Ketua Menteri kerana kesepakatan yang wujud. Akhirnya diwujudkan jawatan TKM untuk UMNO. Adakah sejarah itu akan berulang? Jika Guan Eng boleh mengumumkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri sekiranya beliau ‘tidak ada’, BN juga telah menamakan anak tempatan, Teng Chang Yeow sebagai calon Ketua Menteri. Ini bukan kali pertama beliau ditonjolkan sebagai calon Ketua Menteri jika BN menang.

Keadaan ini pernah berlaku ketika PRU lalu apabila timbul desakan supaya anak Pulau Pinang dilantik sebagai Ketua Menteri bagi menggantikan Guan Eng yang berhijrah dari Melaka. Sebagai Pengerusi BN negeri, Chang Yeow perlu bekerja keras bersama pasukannya untuk memenangi semula Pulau Pinang. Buktikan kata-kata Presiden Gerakan, Mah Siew Keong yang menolak kenyataan pembangkang bahawa Gerakan akan berkubur pada PRU kali ini. Gerakan yang ditubuhkan sejak 1968 dan mempunyai rekod yang panjang memimpin Pulau Pinang perlu mengukuhkan parti itu untuk terus kekal relevan terutama di negeri itu.

Siew Keong pernah berkata: “Saya ingin tegaskan, sama ada saya menang atau kalah (bertanding pada
PRU14), pembangkang tidak boleh ‘membunuh’ parti Gerakan,”

Kembali kepada Chang Yeow, tanggungjawab kali ini lebih besar kerana inilah peluang terbaik untuk
beliau menebus kembali kekecewaan diri sendiri dan Gerakan pada PRU lalu. Menyelak kembali penglibatan beliau, Chang Yeow mula bertanding pada PRU 1995 dalam misi BN-Gerakan merampas kembali kerusi Padang Kota yang pernah diduduki Dr. Lim Chong Eu. Gerakan gagal mempertahankan kerusi itu pada 1990 apabila Chong Eu sebagai Ketua Menteri ketika itu tewas kepada Lim Kit Siang dengan majoriti 706 undi. Cubaan Chang Yeow berjaya apabila mengalahkan orang kuat DAP ketika itu, Karpal Singh. Beliau kemudiannya mempertahankan kerusi itu pada 1999 dan 2004 dengan mengalahkan calon DAP, Kon Yeow.

Bagaimanapun tsunami politik pada 2008 menyaksikan Kon Yeow akhirnya berjaya menumbangkan
Chang Yeow dengan majoriti 1,661 undi. PRU 2013, ketika Kon Yeow kekal bertanding di Padang Kota, Chang Yeow pula berpindah ke kawasan DUN Bukit Tengah. Sekali lagi beliau tewas dan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung Gerakan dan Pengerusi BN Negeri. Tidak pasti, dalam PRU kali ini, kerusi mana yang menjadi pilihan Chang Yeow. Di mana sahaja beliau bertanding, hakikatnya, Pengerusi BN ini mempunyai misi yang berat untuk melakukan kejutan.  Perubahan mampu dilakukan sekiranya beberapa kerusi tradisi Gerakan sebelum ini mampu diambil semula. Jika tidak mampu sekali pun, Gerakan perlu menyumbang kerusi untuk menjadi pembangkang yang kuat. Apa pun misi kali ini Gerakan perlu menang beberapa kerusi supaya parti itu tidak terus tenggelam di Pulau Pinang.

UMA190318010C#

Related posts

Leave a Comment