HARI ini berlangsung Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Majlis Parlimen Ke-13 sehingga 5 April. Sudah pasti, inilah mesyuarat terakhir sebelum Parlimen dibubarkan. Buat kali terakhir, wakil rakyat dari seluruh negara menghadirkan diri di Dewan Rakyat. Di mana mereka pada penggal akan datang belum pasti. Ada yang digugurkan atau tidak bersedia bertanding semula. Ada yang dipilih sebagai calon tetapi tewas. Jika menang, belum pasti di mana kedudukan mereka, sama ada di blok kerajaan atau pembangkang. Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 semakin hampir.
Di merata tempat, parti-parti politik begitu giat menyusun program untuk memenangi hati pengundi dan rakyat seluruhnya. Di Pulau Pinang, Barisan Nasional (BN) turut mengatur langkah untuk ‘membebaskan’ negeri itu daripada genggaman DAP. Sepuluh tahun DAP menerajui negeri yang pernah menjadi ‘mutiara’ Gerakan, parti komponen BN. Adakah Pulau Pinang akan kembali ke pangkuan BN? Jika ditanya kepada parti-parti yang bertanding, masing-masing yakin untuk ‘melakar sejarah’. BN menyusun program Pentas Rakyat Selamatkan Pulau Pinang.
Siri ceramah bergerak ini menampilkan pemimpin parti komponen yang menjelajah ke seluruh negeri itu, sama seperti yang dilakukan oleh Pakatan Harapan. Minggu lalu, program itu berlangsung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Guar Perahu, dalam Parlimen Permatang Pauh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.
Ini adalah ‘wilayah’ PKR yang meriah dengan pilihan raya kecil (PRK). Elok diselak kembali PRK ‘cetusan’ PKR ini yang bermula selepas beberapa bulan PRU2008, Dr. Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan untuk memberi laluan kepada suaminya Anwar Ibrahim. Wakil PKR DUN Penanti, Mohamad Fairus Khairuddin juga mengambil langkah yang sama pada Mei 2009.
Pada tahun 2015, Anwar hilang kelayakan dan memaksa PRK diadakan. Wan Azizah terpaksa ‘membasuh kakinya’ semula untuk ke Permatang Pauh. Berbalik kepada ceramah pada malam berkenaan, penceramah yang mewakili UMNO, Gerakan, MCA, MIC dan juga Jasa memberi mesej untuk memastikan kemenangan memihak kepada BN.
Pentas Rakyat itu juga secara tidak langsung memperkenalkan atau membayangkan beberapa calon yang berpotensi untuk bertanding khususnya di Parlimen Permatang Pauh yang diwakili PKR sejak 1999. Ketua UMNO Bahagian, Mohd Zaidi Mohd Said dilihat sebagai calon yang bakal mewakili BN apabila pemimpin-pemimpin yang berucap ‘menyeru’ namanya dan meminta pengundi menyokong ‘Team Zaidi’.
Berdasarkan gerak kerja yang dilakukan oleh Team Zaidi ini, peluang untuk BN melakar sejarah membebaskan Permatang Pauh tetap ada.
Zaidi atau lebih dikenali sebagai Cikgu Zaidi dilihat pemimpin yang bukan sahaja bersedia mewakili anggota UMNO atau parti komponen BN di Parlimen itu tetapi juga pengundi-pengundi Permatang Pauh sama ada anggota Pas, PKR, PAN, PPBM atau tidak berparti. Mungkin atas semangat inilah yang membentuk Team Zaidi bukan Team UMNO/BN. Mengikuti lebih dekat program Pengerusi Majlis Pembangunan Parlimen Permatang Pauh itu, rasa tidak terkejar apa yang dilakukan.
Beliau bukan wakil rakyat tetapi bekerja melebihi wakil rakyat, bergerak ke sana sini untuk mendekati masyarakat pelbagai peringkat umur tanpa mengira kaum, agama atau parti politik. Semalam, beliau menghadiri Ma jlis Anugerah Cemerlang 8A Ujian Penilaian Kelas KAFA Parlimen Permatang Pauh. Gerak kerjanya bukan baharu berlaku tetapi sudah lama.
Tidak salah jika dikatakan, beliau lebih kerap turun padang berbanding wakil rakyat sebenar. Masanya lebih banyak di Permatang Pauh. Ketika menghadapi PRK Permatang Pauh, beliau bekerja keras untuk membantu calon BN, Setiausaha UMNO Bahagian, Suhaimi Sabudin. Walaupun tidak terpilih, Zaidi masih bekerja untuk memastikan UMNO memperoleh kembali kerusi yang pernah diwakili BN melalui Anwar sejak 1982. Sikap terbuka seperti inilah yang perlu ada dalam kalangan pemimpin atau bekas pemimpin.
Bersedia untuk bekerja demi parti. Jangan kerana tidak dipilih, calon sendiri disabotaj. Jangan kerana tiada jawatan atau sudah tidak aktif berpolitik, mereka berdiam diri atau melihat dari jauh tanpa memberi sokongan. Amat penting bagi mana-mana bekas pemimpin untuk menunjukkan solidariti menyokong calon pilihan parti.
Tanpa semangat itu, siapa pun yang bertanding tidak akan berjaya kerana ada dalam kalangan orang lama merajuk, tidak mahu bekerja dan membawa diri. Lebih malang jika mereka dilihat tidak merestui calon berkenaan.
Ramai bekas pemimpin yang lupa bahawa ketika mereka bergelut untuk menjadi pemimpin bahagian, calon PRU dan sebagainya, golongan bawahan yang mula belajar berpolitik inilah yang membantu menaikkan mereka. Sudah berbuih mulut pemimpin mengingatkan, individu tidak penting tetapi parti itu lebih diutamakan. Malangnya ramai yang umpama ‘masuk telinga kanan keluar telinga kiri’.
Situasi seumpama ini akan berlaku di mana-mana sahaja kerana kerusi yang ada terhad tetapi yang ‘layak’ dan mahu me nawarkan diri terlalu ramai. Berbalik kepada Permatang Pauh, sama ada Zaidi atau siapa sahaja, UMNO bahagian itu sudah lama menyusun strategi. Pada PRU lalu, Zaidi sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian tidak tersenarai sebaliknya BN menurunkan Dr. Mazlan Ismail. Apabila berlaku PRK pada 2015, Zaidi yang mengetuai Pasukan Transformasi berusaha keras untuk melakukan kejutan. PRK memberi peluang kepada Zaidi untuk mencuba memecahkan benteng penguasaan keluarga Anwar di Permatang Pauh. Beliau sebelum itu telah menetapkan PRU-14 sebagai misi menamatkan penguasaan PKR. Akhirnya PRK datang dan peluang itu digunakan untuk menjayakan matlamat Pasukan Transformasi.
Malangnya BN sekali lagi gagal apabila Suhami kalah dengan majoriti 8,841 undi. Biar pun kecewa, sekurang-kurangnya BN dapat mengurangkan majoriti PKR yang ketika itu menghadapi sedikit krisis sehingga sokongan Pas dikatakan tidak seratus peratus. Kini Pas sudah meninggalkan PKR dan mahu bertanding semula di Permatang Pauh. Jika diselak sejarah, Pas pernah menumbangkan calon UMNO/BN di situ pada 1978. Siapakah yang akan melakar sejarah sekiranya berlaku pertandingan melibatkan BN-PKR-Pas?
Tanpa Pas, adakah kedudukan PKR tergugat dan membuka peluang lebih baik kepada BN/ UMNO? Atau Pas mampu membuat kejutan? Pas sekurang-kurangnya mahu mengekalkan kerusi tunggalnya di Permatang Pasir yang bukan sahaja akan berhadapan dengan BN/UMNO tetapi juga PAN. Siapakah calon Pas dan siapa pula calon PKR?
Adakah keluarga Anwar sekali lagi diturunkan. Ketika ini, berhampiran pejabat PKR di simpang masuk Taman Guar Perahu, tertera poster besar Anwar bertajuk Menuju Kebebasan 8 Jun 2018. Dan di Dataran Hajjah Mah, berhampiran simpang masuk Kampung Guar Perahu, terpampang pula poster besar Cikgu Zaidi yang mengucapkan Selamat Tahun Baru 2018 kepada semua warga Permatang Pauh. Terdapat beberapa ungka pan di situ iaitu Semalam adalah sejarah, Hari ini adalah kenyataan; Esok adalah harapan; Selamat datang sinar baru dan Semoga menjadi sejarah terindah.
Apakah PRU-14 ini akan terus melakar sejarah? Permatang Pauh telah melakar banyak sejarah. Tahun 1978, calon UMNO tewas kepada Pas; 1982 Anwar, mantan Presiden ABIM memilih UMNO untuk bertanding atas tiket BN; PRK Permatang Pauh beberapa bulan selepas PRU 2008; Ahli Parlimen dipilih 2008 dan letak jawatan tetapi bertanding semula pada PRK 2015; Ahli Parlimennya juga menjadi ADUN Kajang di Se langor. Itulah sejarah di Permatang Pauh.
Kali ini, apa pun keputusan nya, ia tetap menjadi sejarah!
UMA050318010C#