Jemaah berlapang dada, bagaimana pula ibu bapa?

BAGAIMANA Ramadan yang sedang memasuki minggu kedua? Semoga amalan kita pada bulan yang penuh barakah ini lebih berkualiti berbanding Ramadan yang sudah ditempuhi sepanjang kita diberi peluang untuk bernafas di muka bumi ini. Penuhilah Ramadan ini dengan pelbagai ibadah yang menawarkan ganjaran teramat besar. Solat sunat Tarawih antara pengisiannya. Sama ada lapan atau 20 rakaat Tarawih yang diikuti tiga rakaat Witir, lakukanlah secara jujur dan ikhlas. Sesetengah masjid dan surau melakukannya 20 rakaat dan ada pula sekadar lapan. Ada yang memulakannya dengan tazkirah ringkas selama 10 minit diikuti Tarawih dan Witir, ada juga yang bermula empat rakaat dan dihentikan untuk tazkirah sebelum disambung empat rakaat. Tidak kurang juga yang menyelesaikan lapan rakaat dan kemudiannya diisi dengan tazkirah.

Apa pun kaedah yang dilakukan, biarlah solat sunat itu dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Tarawih tidak ada setiap tahun, datang hanya setahun sekali. Walaupun hukumnya sunat tetapi tidak ramai yang akan melakukan solat sunat itu dalam jumlah yang banyak pada satu-satu malam kecuali sepanjang Ramadan. Selepas memasuki hari ke 10, bagaimana suasana di masjid atau surau anda? Adakah jumlah saf dan jemaahnya masih ramai, sama seperti permulaan Ramadan atau jumlah itu mula berkurangan? Diharapkan, kehadiran jemaah masih menggalakkan seperti permulaan Ramadan. Manfaatkannya sebaik mungkin. Hidupkan masjid dan surau dengan solat sunat ini sambil berzikir dan berselawat beramai-ramai.

Bagi yang jarang ke masjid atau surau, inilah peluang untuk memulakan langkah baharu sekurang-kurangnya menghadiri solat berjemaah pada waktu Isya diikuti Tarawih. Bagaimanapun jagalah adab ketika di dalam masjid terutama bagi ibu bapa yang membawa anak-anak kecil.

Sambil merebut pahala berjemaah, didiklah anak-anak untuk mendekati dan menghormati masjid. Adab di sini pula bukan bertujuan mahu menghalang ke masjid tetapi lebih kepada mendidik bagi mewujudkan suasana yang sesuai. Tidak dinafikan, dalam kalangan ibu bapa, timbul dilema sama ada mahu membawa anak-anak kecil yang berusia tiga hingga enam tahun ke masjid. Mereka tidak ada pilihan kecuali terpaksa membawa anak-anak ini kerana di rumah tidak ada sesiapa yang boleh diharapkan untuk menjaga. Malangnya ketika di masjid, anak-anak ini ‘dibebaskan’ berlari ke sana sini sehingga ada yang mengganggu jemaah sedang solat.

Tidak mengejutkan jika ada anak-anak berlari-lari di antara saf dan terpijak cermin mata, telefon dan apa sahaja yang diletakkan di ruang sujud. Tidak pasti sama ada kepala jemaah juga dipijak secara tidak sengaja ketika anak-anak sedang berlari-lari. Situasi ini menimbulkan keresahan dalam kalangan jemaah dan menjadi perbincangan yang tidak pernah selesai. Begitulah dunia kanak-kanak. Nama pun kanak-kanak. Orang dewasa pun, tidak semua mampu mematuhi adab di dalam masjid. Ada yang masih tidur di dalam masjid atau merokok di kawasan masjid.

Kembali kepada kanak-kanak, pelbagai kerenah dapat dilihat akibat kenakalan yang tidak boleh disekat lebih-lebih lagi apabila bertemu rakan sebaya yang sama-sama aktif. Tidak salah jika main permainan yang tidak memerlukan pergerakan ke sana sini seperti batu seremban. Masalahnya apabila kejar mengejar diikuti jeritan. Ada yang melakukan aksi gimnastik dan pelbagai lagi yang menguji kesabaran jemaah. Ibu bapa tidak boleh dihalang membawa anak-anak mereka. Masjid adalah rumah Allah yang setiap orang Islam berhak mengunjunginya. Peluang ini iaitu untuk solat Tarawih secara berjemaah hanya muncul setahun sekali dan ramai yang mahu mengejar kelebihan ganjarannya. Peranan ibu bapa adalah amat penting untuk mendidik anak-anak mereka supaya tidak mengganggu jemaah. Bawalah anak-anak ke masjid untuk tujuan mendidik mereka menjiwai solat berjemaah. Memang ada yang meletakkan hukum sunat, harus, makruh malahan haram membawa kanak-kanak ke masjid. Bagaimanapun ia bergantung kepada situasi. Terdapat beberapa hadis menunjukkan kanak-kanak tidak dihalang ke masjid. Salah satu hadis membawa maksud: Aku melihat Nabi SAW mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulullah SAW. Apabila baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula (Riwayat Muslim dan Bukhari).

Rasulullah SAW juga bersabda yang maksudnya: Aku bercadang memanjangkan solatku. Tiba-tiba
aku dengar tangisan kanak-kanak. Aku mempercepatkan solat bimbang menyusahkan ibunya (Bukhari dan Muslim).

Kepada ibu bapa, didiklah anak-anak supaya lebih berdisiplin ketika di dalam masjid. Peringatkan anak-anak tentang tujuan ke masjid. Ingatkan mereka bahawa masjid bukannya padang atau taman permainan. Masjid juga bukan pusat membeli belah. Pakaikan anak-anak dengan pakaian yang sesuai untuk solat bukannya seolah-olah mahu ke taman permainan. Ada ibu bapa yang mengejar saf hadapan dan meninggalkan anak-anak mereka berkeliaran, tidak mampu mengurus diri sendiri. Adalah lebih baik, ibu bapa memilih saf yang bersesuaian dan biarkan anak di saf yang sama seeloknya di tepi din­ ding (hujung saf) supaya kita lebih tahu pergerakan anak-anak. Haki­katnya, kanak-kanak bising ketika ibu bapa atau jemaah sedang solat bukanlah sesuatu yang baharu. Dulu pun sama tetapi mungkin disebabkan keprihatinan orang tua kita pada masa lalu yang ber­sedia anak-anaknya ditegur oleh jemaah lain. Penulis masih ingat, dulu di kampung, jika di masjid ada seseorang yang melintas sa­haja, semua kanak-kanak diam. Kadang-kadang, di tangannya ada rotan. Jika terbeliak biji ma­tanya, semua senyap. Anak-anak lebih bimbang jika kelakuan yang tidak baik seperti membuat bising dimaklumkan kepada ibu bapa. Mereka sedar, ada orang yang me­merhati tingkat laku dan sebarang kesalahan akan dimaklumkan ke­ pada ibu bapa mereka.

Menyelak kembali pada masa lalu,­ apabila bilal berselawat, ma­ka kanak-kanak yang di luar akan menyambut selawat itu. Hari ini, adakah suasana itu masih wujud? Kanak-kanak di luar saf terus dengan dunianya sedangkan­ jika dididik, suara mereka lebih kuat untuk menjawab selawat. Pihak masjid boleh mengambil pel­ bagai langkah untuk mengatasi kebisingan yang berlaku seperti menyediakan pengawal atau ka­ wasan khusus tetapi kunci utama terletak kepada ibu bapa. Terser­ah kepada kebijaksanaan ibu bapa mahu mendidik anak-anak mereka supaya lebih berdisiplin dan menghormati jemaah lain. Jemaah pula perlu positif dan berlapang dada. Bertoleransilah dengan kanak-kanak dalam usa­ha kita membudayakan mereka untuk mendekati masjid.

Isu kanak-kanak bising ini tidak akan selesai selagi ibu bapa tidak peduli dengan tingkah laku anak-anak mereka. Kepada ibu bapa tanyalah diri sendiri sejauh mana anak-anak mereka telah dididik untuk menunjukkan disi­plin yang baik ketika di masjid. Seperkara lagi, jangan pula dilupa kehadiran anak-anak yang sudah bersekolah ke masjid.

UMA050617010C#

Related posts

Leave a Comment