Mencari jalan perkukuhkan perpaduan umat Melayu Islam

SEPANJANG minggu lepas, saya berpeluang mengikuti beberapa program berkaitan dengan perpaduan ummah. Begitu juga dengan tazkirah, kuliah Subuh dan Zuhur serta khutbah Jumaat. Semua berkisar mengenai perpaduan umat Islam. Ada yang berkata perpaduan umat Melayu Islam amat meruncing. Jika kita menjangkakan PKR sebagai serpihan terakhir parti yang diasaskan orang Melayu tetapi muncul PAN berikutant kekecewaan sekumpulan pemimpin Pas. Berapa banyak lagi parti diasaskan Melayu Islam akan muncul? Siapa tahu muncul lagi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ? Kemunculan parti politik yang pelbagai akan memberi kesan kepada perpaduan ummah disebabkan fahaman politik yang berbeza. Masing-masing mempunyai agenda dan akhirnya sebarang usaha ke arah kebaikan mungkin terjejas. Perpaduan amat penting. Jika umat bersatu padu, maka lebih mudah untuk me­laksanakan sesuatu bukan sahaja bagi kepentingan umat tetapi juga masyarakat seluruhnya. Menyelak kembali dua Pilihan Raya Kecil (PRK) – Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak kelmarin, perpaduan juga menjadi faktor menang dan kalah. Di­ sebabkan perpaduan dalam­ kalang­an parti komponen serta anggota parti, Barisan Nasional (BN) mela-lui calon UMNO mengekalkan penguasaan di dua kerusi itu dengan majoriti yang lebih besar. Akibat perpecahan pula, pakatan pembangkang gagal menyerlah. Pas ‘kecundang’ selepas berpisah de­ngan pakatan yang menggabung-kan DAP, PKR dan PAN. Jumlah undi Pas mungkin berbeza jika mereka masih dalam gabungan pembangkang. PAN sebagai pendatang baharu pula mendapat undi yang agak baik, sekurang-kurang­nya memalukan Pas.

Pas dan PAN akan mendapat undi lebih baik, jika berkompromi untuk mengelak pertandingan tiga penjuru. Bagaimanapun mustahil bagi Pas berbuat demikian kerana kerusi itu adalah miliknya. PAN baharu muncul, belum masanya untuk berbincang mengenai kerusi. Tunggulah PRU. Apa pun Pas berjaya melepasi ujian pertama selepas bersendirian. Cuma akan timbul kecelaruan bagaimana kerjasama dalam kerajaan ne­geri Selangor selepas PRK Sungai Besar, kawasan yang terletak di negeri yang ditadbir oleh pakatan PKR-DAP-Pas. Menarik juga untuk dilihat bagaimana pula jika UMNO dan Pas bersatu. Apakah kekuatan itu mampu menggugat pakatan DAP, PKR, PAN? Itu isu prinsip politik. Biarlah pimpinan parti berkenaan menentukannya.

Berbalik kepada isu perpaduan yang melibatkan Melayu dan Islam, usul Rang Undang-undang Persendirian untuk meminda Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 akan menguji sejauh mana perpaduan umat Islam terhadap usul itu. Dibentang oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang pada 26 Mei lalu, usul itu mendapat sokongan anggota Kabinet kerajaan. Inilah sikap keterbukaan kerajaan BN yang diterajui UMNO untuk melihat perubahan di mahkamah syariah. Walaupun masih terlalu awal, pendirian bersama amat penting. Peliknya apabila bekas ahli Parlimen Pas yang melompat masuk PAN pula menunjukkan sikap sebaliknya. Begitu juga dengan pemimpin komponen BN yang cepat melatah sedangkan hakikatnya, rang undang-undang itu hanya melibatkan orang Islam. Dalam isu ini ada usaha penentang­an terhadap isu berkaitan umat Islam. Apa yang dibimbangkan, peranan pihak tertentu yang umpama­ gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut atau musang berbulu ayam yang tidak mahu melihat perpaduan melibatkan parti Melayu Islam menjadi kenyataan.

Umat Islam tanpa mengira fahaman politik seharusnya bersatu atas nama Islam bagi memperkasakan apa sahaja agenda Islam. Kaji dan teliti dulu usul yang akan dibentangkan sebelum menolak bulat-bulat. Hindari sebarang unsur perpecahan bagi mengelakkan umat Melayu Islam dijajah atau dikuasai kaum lain. Berhati-hatilah dengan kumpulan yang bersekutu dengan kumpulan yang mengancam Islam dan Melayu. Kumpulan ini ingin memisahkan Islam dengan umat Islam daripada memiliki identiti muslim sebenar. Justeru tunjukkan kekuatan umat Islam. Berpolitiklah tetapi apabila timbul sesuatu isu berkaitan kepentingan bersama bersatulah. Politik di Malaysia tidak dapat dipisahkan daripada unsur-unsur berasaskan kaum. Masing-masing ada kepentingan. Mustahil parti yang dikuasai masyarakat Cina tidak mempunyai kepentingan memperjuangkan hak mereka terutama dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, budaya dan pelbagai lagi. Cuma caranya mungkin berbeza, ibarat ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Hakikatnya, memang ada usaha pihak tertentu yang tidak senang dengan perpaduan umat Islam di negara ini melalui kerjasama UMNO dan Pas. Bagi mereka yang berada di luar arus perdana politik, berhati-hatilah dengan usaha memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu Islam. Mereka akan menyusup melalui parti politik dan ingin melihat pemimpin kerajaan yang diterajui UMNO diberi persepsi negatif sehingga menimbulkan kebencian dan kemarahan rakyat. Puak-puak ini akan berbesar hati apabila berlaku perpecahan parti utama sehingga melahirkan parti serpihan yang secara tidak lang-sung memecahkan perpaduan kaum berkenaan. Apa yang pen­ting, serpihan ini akan bangkit dan dibantu untuk menentang kerajaan. Dalam erti kata lain parti baharu yang muncul akan dijadikan kuda tunggangan. Tangan-tangan ghaib juga akan terus memainkan peranan menyerang kepentingan Melayu Islam termasuk ekonomi.

Orang Melayu jangan ibarat memagar kelapa condong, pohonnya tumbuh di tanah kita, buahnya jatuh ke tanah orang.Baru-baru ini, ketika berbual dengan imam Mekah, Sheikh Dr. Idris Mashrafi berkata, umat Islam di negara ini perlu bersatu padu. Hanya Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang boleh menunjukkan kesepaduan umat. Lupakan politik kepartian, damaikan perselisihan faham antara umat yang bertelagah. Ketepikan isu-isu berkaitan kepentingan peribadi dan puak. Malang sekali apabila ahli-ahli politik kita sering bercakap mengenai berpegang teguh dengan tali Allah dan jangan bercerai berai tetapi hakikatnya mereka bergaduh semasa pilihan raya.

Banyak negara Islam lain yang sudah mengalami tragedi yang menyebabkan mereka berpecah belah. Di manakah kekuatan Islam pada hari ini? Dengan jumlah mencecah 2.3 bilion di seluruh dunia tetapi akibat perpecahan, kedudukan Islam terus dipandang hina dan ketinggalan.Umat Islam dilabel dengan pelbagai pandangan dan persepsi negatif seperti kemiskinan, kemunduran serta pengganas. Kenapa begitu?

UMA200616010C#

Related posts

Leave a Comment