SEPANG 23 Mei – Lebih 18,000 pendaftaran diluluskan dalam tempoh lima hari selepas dua bekas pemimpin PKR mengumumkan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) di Petaling Jaya pada 17 Mei lalu.
Menurut BERSAMA, peratusan pecahan pendaftaran ahli baru mengikut parti-parti politik asal menunjukkan 46 peratus pertama kali menyertai parti politik manakala 29 peratus adalah bekas anggota PKR.
Turut dilaporkan, keahlian itu juga melibatkan mereka yang pernah menyertai UMNO, Pas, Amanah, Bersatu, Muda, DAP, MIC, dan MCA.
Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan mengambil alih BERSAMA yang ditubuhkan pada 2 Disember 2016 di Pulau Pinang.
Simbolik penyerahan kepemimpinan parti berkenaan disempurnakan Presidennya, Tan Gin Theam.
