KUALA LUMPUR 23 Mei – Pas dijangka mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan ketetapan lanjut berhubung hubungannya dengan Bersatu, kata Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata mesyuarat berkenaan akan diadakan dalam tempoh satu atau dua hari lagi dan kemungkinan besar membabitkan kepemimpinan Pas terlebih dahulu tanpa penyertaan pihak Bersatu.
“Kita akan mesyuarat dalam masa terdekat kemudian kita akan buat keputusan. Ia akan dilakukan dalam satu atau dua hari lagi, sebelum raya (Aidiladha).
Sama ada mesyuarat dengan kita dahulu (Pas), kemudian Bersatu, kita tengok. (Mungkin) Mesyuarat dengan Pas dahulu,” katanya ketika ditemui di Konvensyen Ulang Tahun ke-58 Parti Gerakan Rakyat Malaysia di sini, hari ini.
Mesyuarat itu susulan beberapa isu yang timbul membabitkan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berkata partinya akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang dilihat melanggar semangat setia kawan parti komponen PN.
Hadi berkata ketetapan itu dibuat susulan siri tindakan Bersatu yang disifatkan kurang menyenangkan Pas termasuk memecat beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri di Kedah yang juga Exco Kerajaan Kedah serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohamed Farid Mohamed Zawawi.
Semalam Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pihaknya akan meneliti dan membincangkan secara mendalam kenyataan yang dibuat oleh Abdul Hadi berhubung hubungan serta kerjasama antara kedua-dua parti dalam PN.
Beliau berkata, perkara itu akan dibawa untuk perbincangan lanjut dalam mesyuarat Biro Politik serta Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu yang akan diadakan dalam masa terdekat.
“Bersatu berpandangan bahawa setiap perkara yang berbangkit wajar diteliti secara menyeluruh dalam semangat setiakawan, persefahaman dan tanggungjawab bersama.
“Langkah ini penting demi memperkukuhkan lagi perpaduan dalam saf kepimpinan dan anggota Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan dikongsi di laman Facebooknya.
Nnnn
