Pandan Parlimen angkat PMX, Zafrul pemantau

KUALA LUMPUR 23 Mei – Pandan kini menjadi Parlimen angkat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku  Zafrul Abdul Aziz diberi tanggungjawab sebagai pegawai pemantau PKR di kawasan berkenaan. .

Naib Presiden PKR, Amirudin Shari ketika mengumumkan perkara itu, berkata keputusan diambil pimpinan parti berkenaan adalah bagi mengatur semula pentadbiran pusat khidmat parlimen dan jentera parti di kawasan terbabit.

“Jadi kita aturkan (Tengku Zafrul) sebagai wakil kerajaan dan pastinya wakil Perdana Menteri (Anwar) di kawasan Pandan itu,” katanya dalam ucapan pada Himpunan Setia Keadilan Pandan di sini malam ini.

Amirudin berkata pemilihan Tengku Zafrul bagi “menjaga” kawasan Pandan adalah atas permintaan Anwar sendiri, memandangkan Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu mahu lebih agresif dalam lapangan politik di Selangor.

Tengku Zafrul juga kita beri tanggungjawab untuk menjadi pegawai pemantau untuk Parlimen Ampang (cuma) pimpinan di Ampang itu ahli parti (PKR) jadi saya tak nak kacau lagi. Kalau di Ampang ada terjadi apa-apa, Tengku Zafrul boleh tengokkan sekali,” katanya.

Beliau berkata, biarpun berhadapan cabaran menguruskan kawasan yang dikosongkan bekas pemimpin PKR, ia sama sekali tidak mengganggu atau melemahkan khidmat dan operasi parti berkenaan.

“Ini bukan perkara baharu, kita sudah alami dahulu seperti kes bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali (Parlimen Gombak) dan bekas Naib Presiden, Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang), itulah yang kita buat (jaga pentadbiran), hasilnya Ampang kemenangan kita lebih besar berbanding pilihan raya sebelumnya,” katanya.

Pada 17 Mei lalu, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 18 Mei, sebelum keluar daripada PKR berkuat kuasa 19 Mei lalu.

Sementara itu, Tengku Zafrul di pentas sama hari ini berkata, beliau berharap mendapat sokongan penuh pimpinan dan akar umbi PKR di Pandan bagi memastikan gerak kerja parti dapat dilaksanakan secara berkesan di kawasan itu.

Related posts

Leave a Comment