Bersihkan jiwa kotor ketika syaitan dibelenggu

RAMADAN kini memasuki fasa terakhir. Begitu pantas masa berlalu. Tidak sampai 10 hari, Ramadan akan pergi me­ninggalkan kita. Semoga dalam hari-hari yang berbaki ini, kuan­titi ibadah kita semakin baik dan berkualiti. Teruskan jihad Ramadan ini. Jihad sudah sinonim dengan bulan Ramadan. Memetik intipati khutbah Jumaat yang di­sampaikan oleh Dr. Farid Ravi di Masjid Bandar Seri Putra (MBSP) minggu lalu, beliau menjelaskan mengenai jihad ini iaitu jihad mengekang nafsu yang sentiasa mengajak manusia melakukan kejahatan dan jihad memerangi­ musuh. Berkaitan jihad menge­kang nafsu melakukan kejahatan, beliau menarik perhatian ten­tang syaitan. Setiap kali Ramadan kita sering diperingatkan tentang bagaimana syaitan diikat atau di­belenggu sepanjang bulan ini.

Contohnya hadis yang ber­bunyi: “Apabila masuk bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahanam, serta dibelenggu syaitan-syaitan”. Begitu juga dengan hadis berikut: “Jika datang bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu,” (HR. Bukhari dan Muslim).

Persoalannya, kenapa masih ada manusia yang sanggup me­lakukan kejahatan? Adakah ini bermakna syaitan masih bebas bergerak menghasut dan meng­goda manusia melakukan maksiat dan kemungkaran sehingga terje­ rumus ke lembah dosa pada bulan yang mulia ini? Manusia juga me­mainkan peranannya. Jika mere­ka tahu syaitan itu kufur maka tidak perlu mereka mengikut te­lunjuk syaitan. Memang syaitan itu dibelenggu pada bulan Rama­dan tetapi disebabkan jiwa dan nafsu yang kotor, manusia tetap melakukan­ kemungkaran. Tidak pasti sama ada pelaku kejahatan ini adalah orang Islam yang turut berpuasa. Jika ya, jadikanlah iba­dah puasa pada bulan Ramadan ini sebagai alat untuk membersihkan jiwa dan nafsu mereka yang jahat serta kotor.

Memang syaitan itu dibelenggu pada bulan Ramadan tetapi disebabkan jiwa dan nafsu yang kotor, manusia tetap melakukan­ kemungkaran. Tidak pasti sama ada pelaku kejahatan ini adalah orang Islam yang turut berpuasa. Jadikanlah ibadah puasa alat untuk membersihkan jiwa dan nafsu yang kotor.”

Selak ingin menarik perhatian mengenai manusia yang terus dipengaruhi unsur-unsur jahat dan maksiat pada bulan Ramadan ini. Contohnya, kes kecurian di kawasan masjid termasuk ketika orang sedang bersolat. Banyak video, gambar yang sering menja­ di viral memaparkan kes kecurian ini seolah-olah satu perkara biasa. Mencuri beg duit jemaah, tabung masjid adalah antara kes yang dilaporkan. Kereta yang diletak­kan di kawasan masjid juga men­jadi mangsa penjenayah mencuri barang berharga. Mungkin jika berlaku di luar bulan Ramadan, itu satu perkara biasa tetapi apa­bila melibatkan pada bulan yang mulia ini, ia sesuatu yang amat mendukacitakan. Adakah mereka ini tergolong dalam golongan se­jahat-jahat syaitan?

Bagaimana pada bulan Rama­dan ini mereka boleh ‘terlepas’ melakukan kejahatan lebih-lebih lagi di kawasan masjid? Adakah mereka tidak ada duit sehingga tergamak mencuri ketika orang se­dang beribadah? Apakah masalah sebenar mereka ini? Adakah mere­ka ini tergolong dalam kalangan orang yang benar-benar miskin? Mungkin ya dan mungkin tidak. Jika ya, golongan ini tentunya mendapat pembelaan sewajarnya daripada masyarakat lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini umat Islam digalakkan bersedekah.

Orang yang bersedekah pada bulan Ramadan akan ditambah pahalanya 10 hingga 700 kali gan­da. Maka ramai yang berlumba-lumba untuk bersedekah. Biasa­nya fakir miskin juga mendapat bantuan secara langsung daripada pusat zakat, agensi berkaitan ke­bajikan dan sebagainya. Jika ada yang tidak dibantu, mungkin aki­bat terlepas pandang dan kegaga­lan pihak-pihak berkenaan men­yantuni mereka. Pusat zakat atau pihak-pihak yang berkaitan perlu mencari kaedah untuk mengesan golongan ini tanpa ada yang ter­cicir sama ada disebabkan tidak mendapat maklumat atau ang­kara kerenah birokrasi. Hentikan polemik yang berkaitan zakat ini, isu yang tidak pernah berakhir.

Kembali kepada kes kecurian di masjid, siapakah mereka yang tergamak mencuri ketika orang sedang beribadah atau melaku­kan amal kebaikan? Adakah penagih dadah yang sudah hilang pedoman hidup sehingga ada kes menunjukkan mereka ini sang­gup membunuh anggota keluarga untuk mendapatkan wang bagi memperoleh dadah atau melaku­kan perbuatan ini ketika dipen­garuhi dadah? Adakah mereka ini juga penganggur yang sebenarnya malas bekerja ketika berjuta orang pendatang asing memasuki nega­ra ini merebut peluang kerja?

Untuk meminta secara baik mereka mungkin malu dan akh­irnya terpedaya dengan godaan syaitan supaya mencuri di mana sahaja ada kesempatan sekalipun di ‘rumah Allah’ . Mereka mung­kin terdesak dan datang ke mas­jid bukan untuk beribadah tetapi mahu mencuri jika berkesempa­tan, maksudnya mungkin peluang itu datang apabila berlaku kecua­ian jemaah yang meletak barang mereka dengan satu kepercayaan ‘tidak ada yang akan mencuri di rumah Allah’. Malahan jika ter­cicir di masjid, tidak akan hilang dan dikembalikan. Hakikatnya Islam tidak mengajar umatnya mencuri walaupun dalam kead­aan terdesak. Mencuri juga bukan jalan keluar daripada kesusahan atau kemiskinan.

Bagi Dr. Farid Ravi, jika mere­ ka ini datang ke masjid untuk mencuri akibat desakan hidup, beliau yang juga Nazir MBSP menyarankan supaya mereka menemui jawatankuasa masjid untuk berkongsi rezeki yang ada. Apa yang penting jangan mende­dahkan diri dengan kegiatan mencuri. Jangan sesekali mencuri harta awam di masjid atau barang-barang yang diwakafkan. Kalau tersarung kasut orang ketika tidak sabar untuk pulang selepas solat, mungkin itu boleh dimaafkan tetapi jika sengaja meninggal­kan kasut sendiri yang lusuh dan diambil kasut baharu hak orang lain, ini boleh dianggap mencuri.

Selak turut mengalami pe­ngalaman kehilangan barang ber­harga di kawasan masjid pada hari yang sama Dr. Farid Ravi menyentuh perkara ini. Petang itu ketika menghadiri satu program di sebuah masjid di ibu negara, beg sandang yang mengandungi beberapa barang berharga serta dokumen penting lesap ketika di­ tinggalkan sementara untuk satu tugasan. Mungkin akibat kecua­ian saya yang terlalu yakin tidak ada manusia jahat di masjid teru­tama pada Ramadan ini. Pengajarannya, kecurian di masjid akan terus berlaku. Ingatlah walaupun berada di kawasan yang dianggap menjadi tumpuan manusia berji­wa bersih dan beriman, masih ada insan berjiwa kotor serta tidak ta­kut dengan undang-undang ma­nusia dan Tuhan. Tidak hairanlah di sesetengah masjid sering diperingatkan supaya para jemaah menjaga barang-barang berharga mereka semasa di masjid.

Manusia yang dipengaruhi syaitan akan sentiasa mengambil kesempatan jika berpeluang tanpa mengira tempat. Mereka yang namanya orang Islam tidak peduli tentang tanggapan orang terha­dap imej agama itu ketika berada di rumah ibadat. Biar apa pun, jan­gan fobia ke masjid tetapi berhati-hatilah kerana ragam manusia ini pelbagai. Barangkali pada bulan ketika syaitan dibelenggu, syaitan sedang belajar daripada manusia untuk melakukan kejahatan!

UMA270616010C#

Related posts

Leave a Comment