KUALA LUMPUR 23 Mei – Usaha memperkukuh perpaduan tidak boleh hanya dilakukan ketika musim pilihan raya sebaliknya perlu dijadikan agenda nasional yang dilaksanakan secara berterusan menerusi dasar, pendidikan silang budaya dan interaksi sosial yang sihat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembinaan elemen tersebut perlu diperkasakan termasuk melalui pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang cemerlang dalam ilmu dan teknologi, serta memahami sejarah negara dan menghormati kepelbagaian masyarakat.
“Perpaduan tidak boleh hanya disebut dan diusahakan ketika musim pilihan raya semata-mata. Jika ia hanya muncul ketika ‘demam pilihan raya’, maka perpaduan itu tidak akan benar-benar kukuh.
Atas sebab itu, saya berharap Gerakan dapat bersama-sama memainkan peranan yang sangat penting dalam memperkukuh asas perpaduan negara dalam pelbagai aspek strategik,” katanya ketika berucap di Konvensyen Ulang Tahun ke-58 Parti Gerakan Rakyat Malaysia di sini, pada hari ini.
Hadir sama Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau; Setiausaha Agung Gerakan, Wong Chia Zen dan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan.
Ahmad Samsuri turut menekankan kepentingan kepelbagaian bahasa dalam negara ini sebagai sebagai satu kelebihan strategik dalam dunia global yang semakin mencabar.
Beliau berkata, usaha memperkukuh toleransi budaya dan keharmonian antara agama juga perlu sentiasa diteruskan, selain berpaksikan prinsip saling mengenali, hormat-menghormati, memahami sensitiviti bersama.
“Malaysia memerlukan generasi yang membawa pemikiran politik baharu, yang melihat perpaduan sebagai kekuatan strategik negara dan bukannya alat kempen politik semata-mata.
“Pemikiran baharu itu juga mesti memahami bahawa ekonomi masa depan bergantung kepada inovasi, teknologi, kemahiran tinggi dan daya saing global yang berpaksikan kestabilan hidup bersama dalam negara ini,” katanya.
