SEPANG 7 Mei – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian sebelum ini bahawa baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor Darul Ehsan.
Baginda mengambil pendirian tersebut setelah mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran pada tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.
Justeru baginda menegaskan agar isu penternakan babi dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya (full stop) demi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat di Selangor terus terpelihara.
Menerusi kenyataan media hari ini baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk kira-kira 9 juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Selain itu, kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos yang amat tinggi dan tidak praktikal serta tidak mungkin dapat dilaksanakan hanya bagi memenuhi bekalan daging babi di Negeri Selangor sahaja.
Justeru, seperti dititahkan sebelum ini, Baginda mencadangkan agar daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam yang makan babi di Negeri Selangor.
Bahkan negara seperti Singapura juga tidak menternak babi dan mengimport daging babi dari luar.
Sultan Selangor juga berpandangan bahawa penternakan babi berskala besar mahupun kecil adalah tidak sesuai dilaksanakan di Selangor memandangkan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi, yang sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.
Terdahulu, jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, penternakan babi di Selangor hanya boleh dibangunkan di kawasan baharu yang jauh daripada kawasan perumahan serta sumber air kritikal bagi mengelakkan isu pencemaran dan gangguan kepada penduduk.
Menteri Komunikasi itu berkata perkara itu disampaikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Beliau berkata ketetapan itu dibuat selepas sembah maklum dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah dan perbincangan bersama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Kerajaan Persekutuan juga berpendirian perlu ada penggunaan teknologi tinggi yang mampu mengurus isu sisa dan pencemaran dengan sangat baik.
Pada Februari, Sultan Selangor bertitah tidak memperkenankan aktiviti penternakan babi di mana-mana daerah di negeri itu.
Seterusnya, Perdana Menteri juga tidak bersetuju penternakan babi dibuat di kawasan dibantah penduduk tempatan yang boleh menimbulkan kontroversi malah
jika tiada kawasan bersesuaian, penternakan babi tidak perlu dilaksanakan khususnya di Selangor.
Susulan itu, Kerajaan Selangor memutuskan untuk tidak lagi mengeluarkan lesen baharu penternakan babi di mana-mana daerah di negeri itu serta menutup ladang sedia ada secara berperingkat.
Bertitah sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor April lalu, Sultan Sharafuddin menegur sikap segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati serta enggan mematuhi titah larangan penternakan babi di negeri ini.
“Beta telah memberikan faktor-faktor kenapa ternakan babi tidak sesuai di negeri Selangor antaranya faktor tanah yang tidak mencukupi dan ternakan babi diadakan di kawasan penempatan penduduk yang padat dengan umat Islam.
Di samping itu isu pencemaran sungai dan udara juga menjadi faktor kenapa ternakan babi di negeri Selangor tidak sesuai,” titah baginda.
Bagaimanapun ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki semasa membahaskan titah ucapan Sultan Selangor memohon pertimbangan kerajaan negeri untuk memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.
Beliau berkata cadangan itu mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Isu penternakan babi tidak seharusnya dibezakan daripada penternakan haiwan lain kerana risiko pencemaran, kebersihan serta kesihatan adalah sama,” katanya.
Nnnn
