SEPANG 6 Mei – Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor menyangkal pandangan serong dan negatif kalangan pemimpin politik dan pihak tertentu yang menganggap titah Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.
Sebaliknya titah Sultan Selangor sempena Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Keempat Dewan negeri Selangor ke 15 pada 20 April lalu, adalah selari dengan konsep Raja Berperlembagaan.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor menjelaskan tanggapan negatif itu adalah tidak berasas serta berpunca daripada salah faham terhadap peranan raja dalam sistem pemerintahan negara.
Menurut kenyataan itu, titah adalah ucapan seorang raja atau sultan yang turut bermaksud nasihat yang mana titah baginda adalah bagi segala tindakan kerajaan negeri bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam pemerintahannya.
“Dalam konteks negeri Selangor, Menteri Besar dikehendaki berunding dengan baginda dalam segala hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.
Rundingan membawa maksud bahawa baginda mempunyai hak untuk diberi sembah maklum mengenai urusan pentadbiran negeri bagi membolehkan Sultan Selangor mengetahui apa yang berlaku di samping memberi nasihat sebelum sesuatu keputusan mengenainya dimuktamadkan.
“Pandangan dan nasihat Sultan berdasarkan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi oleh kepentingan politik.
Sebarang nasihat, teguran dan peringatan oleh Sultan Selangor adalah adalah nasihat dan teguran penting dari seorang raja bagi memastikan pentadbiran negeri dijalankan dengan penuh tanggungjawab,” menurut kenyataan itu..
Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor berkata, baginda sering menitikberatkan tindakan yang efektif dan bukan janji-janji kosong dalam menyelesaikan masalah rakyat bersesuaian dengan peranan baginda sebagai ketua negeri.
Malah Ahli Dewan di-Raja mendapat maklum bahawa, Sultan Selangor kerap menerima aduan dari rakyat tentang masalah yang melibatkan banjir, kutipan sampah, jalan berlubang serta banyak lagi masalah lain yang berkaitan dengan rakyat.
“Aduan–aduan yang disampaikan kepada baginda bukan merupakan surat layang kerana pengadu menyertakan nama, alamat dan nombor telefon mereka bagi membuktikan bahawa mereka benar-benar terdesak mahukan Tuanku menegur kerajaan negeri atas kesulitan dan masalah yang mereka hadapi.
“Berdasarkan prinsip Raja Berperlembagaan, Sultan Selangor tidak mahu bertindak sebagai ‘rubber stamp’ atau sekadar formaliti dalam melaksanakan fungsi baginda sebagai Sultan.
“Sultan bertindak sebagai satu kuasa semak dan imbang terhadap pihak eksekutif untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara.
“Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor yakin baginda yang mempunyai pengalaman memerintah selama tempoh 25 tahun sebagai Sultan Selangor dan 33 tahun sebagai Raja Muda Selangor, amat memahami dan mendalami peranan mengikut undang-undang selaras dengan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan,” menurut kenyataan itu.
