SEPANG 7 Mei – Penasihat DAP Lim Guan Eng kekal dengan pendiriannya bahawa UMNO tidak harus menjadi gunting dalam lipatan, sebaliknya harus kembali ke pangkal jalan dengan menyokong Menteri Besar Negeri Sembilan dan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, UMNO juga hendaklah bersama Pakatan Harapan (PH) bukannya bergerak solo menentang calon PH dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Beliau juga mengingatkan UMNO supaya menghentikan usaha menggulingkan Menter Besar Negeri Sembilan dengan kesemua 14 ADUN UMNO menarik sokongan dan undi tidak percaya terhadap Aminuddin Harun.
“Sudah tiba masanya UMNO bersikap setiakawan kepada Kerajaan Perpaduan ini dan bukan main tikam belakang,” katanya dalam satu kenyataan.
Guan Eng turut mempersoalkan, kenapa UMNO Negeri Sembilan sehingga sekarang masih berdegil kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar sekiranya ia demi kepentingan rakyat dan kestabilan politik negara.
Ahli Parlimen Bagan itu turut mengingatkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bahawa pihak yang mencetuskan masalah besar kali ini bukanlah dirinya atau parti DAP sebaliknya UMNO.
“UMNO sendiri dengan komplot “merampas kuasa” kerajaan Negeri Sembilan dengan sokongan PN dan keputusan bergerak solo menentang calon PH dalam PRU akan datang. Jangan pura-pura jadi mangsa keadaan bila UMNO ialah punca kemelut ini,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.
Semalam, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang mengingatkan Guan Eng supaya tidak menjadi ‘batu api’ yang mampu mencetuskan masalah lebih besar dalam hubungan rakan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, kenyataan Guan Eng yang menyifatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai dalam Kerajaan Perpaduan tidak membantu sebaliknya boleh mengeruhkan keadaan.
Dalam pada itu Guan Eng berkata, sebagai pemimpin senior, Wan Rosdy patut faham bahawa hanya dengan menyokong pimpinan Aminudin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan barulah berjaya dapat menyatukan dan memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, sebagai Menteri Besar, Wan Rosdy patut faham bahawa kekal dan jatuhnya Menteri Besar tidak boleh dipisahkan dengan hidup dan ajalnya sesebuah kerajaan negeri.
“Sekiranya Wan Rosdy letak jawatan sebagai Menteri Besar, maka pentadbiran kerajaan negeri akan dibubarkan, semua EXCO hilang jawatan sehingga seorang Menteri Besar menubuhkan kerajaan baharu dengan melantik ahli EXCO pilihannya.
Takkan Wan Rosdy jahil dengan peruntukan perundangan asas sedemikian.
Ini bermakna sekiranya 14 ADUN UMNO Negeri Sembilan dengan sokongan ADUN PN, berjaya memaksa Menteri Besar Negeri Sembilan meletakkan jawatan maka kerajaan negeri akan tumbang dan jatuh dengan sendirinya,” katanya.
Nnnnn
