1. Esok, 8 Mei 2026, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia atau PUTRA genap berusia tujuh tahun. Bagi sesetengah pihak, tujuh tahun mungkin dilihat singkat dalam ukuran politik. Tetapi bagi sebuah parti yang tidak lahir daripada kuasa kerajaan, tidak dibina dengan dana besar, tidak disuap oleh oligarki politik dan tidak bergantung kepada talian hayat mana-mana kuasa berkepentingan, tujuh tahun ini adalah satu riwayat ketahanan, kesabaran dan keyakinan yang besar.
2. Tarikh 8 Mei 2019, ketika PUTRA menerima sijil pendaftaran rasmi daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS), bukan sekadar tarikh pentadbiran di atas kertas. Ia adalah detik bermulanya satu perjuangan menguji jati diri. Jati diri untuk mempertahankan prinsip, kemuliaan Islam dan maruah bangsa, kepentingan rakyat, kedudukan Bumiputera, kedaulatan negara dan nilai politik yang tidak tunduk kepada ugutan, pujukan, kebendaan pangkat dan harta atau percaturan sempit kuasa. Tidak ada lagi menang sorak kampung tergadai.
3. PUTRA kemudiannya dilancarkan secara rasmi pada September 2019 di Padang Kampung Baru, Kuala Lumpur, dengan kehadiran hampir 3,000 rakyat dari seluruh negara. Himpunan itu bukan sekadar majlis pelancaran parti. Ia adalah isyarat bahawa di tengah-tengah keletihan rakyat melihat politik kepentingan, masih ada rakyat yang mahukan perjuangan yang lebih jujur, lebih berani, lebih berprinsip dan lebih bermaruah.PUTRA teruji, ada yang datang dan ada yang pergi. PUTRA kekal dengan yang CEKAL.
4. Tidak lama selepas itu, negara diuji dengan pandemik Covid-19. Banyak gerakan rakyat terhenti. Banyak organisasi menjadi lemah. PUTRA juga tidak terkecuali menerima kesannya. Tetapi PUTRA tidak rebah, tidak hilang arah dan tidak meninggalkan medan. PUTRA memilih untuk bertahan, menyusun semula kekuatan dan kembali bergerak dengan lebih tersusun bermula tahun 2022. Perjuangan yang lahir daripada keyakinan tidak mudah mati hanya kerana kesukaran.
5. PUTRA juga bukan parti yang muncul secara tiba-tiba. Ia lahir daripada denyut nadi perjuangan rakyat yang telah saya gerakkan melalui NGO PERKASA sejak tahun 2009. Dari situlah saya belajar membaca keresahan rakyat, memahami kebimbangan orang Melayu dan Bumiputera, meneliti cabaran umat Islam, serta melihat dengan dekat bagaimana negara ini semakin memerlukan politik yang berpaksikan prinsip, bukan politik yang hanya bijak mencari jalan ke puncak kuasa atau kepemimpinan hipokrit, munafik dan penuh tipu daya.
6. Saya bukan bekas Perdana Menteri. Saya bukan bekas Timbalan Perdana Menteri. Saya bukan bekas Menteri. Saya bukan bekas Menteri Besar. Saya tidak membawa harta atau limpahan kuasa. Tetapi saya percaya, dalam perjuangan, jawatan bukan segala-galanya. Ada masa sejarah lebih menghargai keberanian seorang insan mempertahankan prinsip daripada kemewahan sebuah kedudukan yang dibayar dengan hilangnya maruah bangsa atau diri. Atau menjadi barua kepada gulongan anti melayu anti Islam dan sangup istihar sedia makan babi bersama.PUTRA memilih PRINSIP BERSIH dan BERMORAL kerana inilah punca kekuatan kepemimpinan yang diredhai Allah SWT.
7. Sebab itu jalan PUTRA tidak pernah mudah. Tetapi kerana tidak mudah itulah perjuangan ini mempunyai nilai. Parti yang terlalu mudah mendapat kuasa kadangkala terlalu mudah juga mengorbankan prinsip. PUTRA memilih jalan yang sukar kerana sejarah sering membuktikan bahawa perjuangan yang dibentuk oleh ujian biasanya lebih tahan, lebih jujur dan lebih memahami denyut nadi rakyat biasa.
8. PUTRA tidak mahu hidup sebagai alat kepada mana-mana kuasa besar. PUTRA tidak mahu menjadi suara yang berubah mengikut kedudukan politik. PUTRA tidak mahu menjual prinsip hanya untuk berada hampir dengan kuasa. Sejak awal, saya konsisten dengan pendirian bahawa politik mesti mempunyai sempadan moral. *Prinsip NO DAP yang saya pegang bukan slogan pilihan raya, tetapi pendirian perjuangan yang tidak berubah mengikut musim kuasa*
9. Hari ini, PUTRA mempunyai 47,000 ahli berbayar RM10 seumur hidup dan telah tertubuh 64 Bahagian yang memenuhi syarat ROS daripada 100 Bahagian yang diluluskan. PUTRA juga berjaya melaksanakan Persidangan Agung Tahunan secara konsisten mengikut perlembagaan parti dan peraturan ROS sejak ditubuh. Bagi parti yang bergerak tanpa kemudahan besar, angka ini bukan sekadar angka organisasi. Ia adalah bukti bahawa perjuangan yang ikhlas tetap mempunyai tempat di hati rakyat.
10. PUTRA juga telah memohon untuk menjadi ahli Perikatan Nasional (PN). Sebelum ini, PUTRA bersama IPR, sebuah gabungan longgar parti-parti politik di luar kerajaan dan di luar PN yang diasaskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bagi PUTRA, kerjasama politik mesti dibina atas keserasian prinsip, hala tuju perjuangan dan kepentingan rakyat, bukan semata-mata rundingan kerusi, pembahagian kedudukan atau habuan kuasa.
11. Politik bagi PUTRA bukan sekadar soal memerintah. Politik ialah amanah untuk membela rakyat. Sebab itu PUTRA akan terus membawa suara rakyat dalam isu kos sara hidup, harga barang, tekanan ekonomi keluarga, isu diesel, nasib pesawah, harga padi, masa depan generasi muda dan maruah rakyat kecil yang semakin dihimpit kehidupan. Negara tidak boleh terus diurus dengan slogan indah sedangkan rakyat di bawah sedang menanggung beban yang semakin berat.
12. Sempena ulang tahun ketujuh ini, saya merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli, pimpinan, jentera dan penyokong PUTRA di seluruh negara yang terus setia dalam susah dan senang. Tujuh tahun ini bukan penamat, tetapi permulaan kepada perjalanan yang lebih besar. PUTRA akan terus menongkah arus, mempertahankan prinsip dan menjadi suara kepada rakyat yang tidak mempunyai kuasa. Biar PUTRA belum besar dari sudut kedudukan politik, tetapi jangan sesekali meremehkan kekuatan sebuah perjuangan yang dibina atas keberanian, maruah, keyakinan dan doa rakyat.
*Dato’ Dr. Ibrahim Ali*
(Adi Jagat)
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia *(PUTRA)*
6 Mei 2026
