UMNO hormati pendirian 14 ADUN Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR 29 April –  UMNO Malaysia menghormati Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Aminuddin Harun.

Setiausaha Agung UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun berkata, UMNO terus menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri itu bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Katanya, ketetapan itu dibuat pada Mesyuarat Biro Politik UMNO Malaysia yang berlangsung malam ini dan mendengar penjelasan tuntas daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Jalaluddin Alias.

“UMNO Malaysia telah mendengar penjelasan mengenai tindakan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri BN yang hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan kerana sikap beliau membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam ini.

Katanya, UMNO sentiasa berpegang teguh kepada asas Perlembagaan UMNO menurut Fasal 3.1 yang sentiasa mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara.

“UMNO Malaysia memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan hingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius di kalangan anggota komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” katanya.

Mesyuarat juga mengambil ketetapan supaya satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan harus diadakan bagi merungkai beberapa isu yang melibatkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing.

“Ini seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan,” kata Asraf Wajdi.

Sebelum ini, semua 14 ADUN UMNO Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan serta hilang kepercayaan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin yang juga ADUN PKR Sikamat.

Tindakan itu dibuat susulan ketidakpuasan terhadap isu berkaitan institusi adat dan perlembagaan negeri yang didakwa memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri serta kestabilan politik di peringkat negeri.

Nnn

Related posts

Leave a Comment