KUALA LUMPUR 7 Mei – Dewan Pemuda Pas Malaysia menggesa Kerajaan Madani khususnya Perdana Menteri, Menteri Komunikasi serta ADUN Seri Kembangan memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor dan rakyat Selangor amnya.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, permohonan maaf itu atas apa yang disifatkan Pas sebagai penderhakaan terhadap titah Tuanku Sultan Selangor mengenai isu penternakan babi di negeri tersebut.
Justeru Pemuda Pas menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Fahmi Fadzil dan Wong Siew Ki memohon maaf dalam tempoh 24 jam atau Pemuda Pas akan menggerakkan laporan polis di seluruh negara.
Menurut Afnan Hamimi, adalah amat mendukacitakan ketegasan titah Baginda itu seolah-olah tidak diberikan perhatian yang serius oleh Kerajaan Madani yang mentadbir Selangor mahupun Kerajaan Persekutuan.
Katanya, sebelum itu Sultan Sharafuddin telah menegaskan pendirian baginda berhubung cadangan pembinaan ladang ternakan babi dan tidak wajar lagi timbul sebarang perbincangan atau perbahasan berhubung perkara itu.
“Malah, Pemuda Pas Malaysia juga kesal dengan kenyataan yang diberikan oleh Menteri Komunikasi semalam yang menyatakan bahawa penternakan babi di Selangor dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Mengapa pula Kerajaan Madani dilihat begitu bersungguh-sungguh mempertahankan pembinaan ladang ternakan babi sedangkan isu pesawah di Kedah sekadar dipandang sepi?,” kata Ahli Parlimen Alor Setar itu.
Beliau berkata, lebih malang lagi, mengapa Kerajaan Madani seolah-olah sengaja menderhaka titah Baginda yang disampaikan dengan jelas, terang dan terbuka.
Sepatutnya semua pihak akur dengan pendirian yang disampaikan Baginda, bukannya membuka semula perbincangan sehingga mengenepikan pandangan Baginda dalam isu ini.
Semalam, Fahmi berkata, penternakan babi di Selangor hanya boleh dibangunkan di kawasan baharu yang jauh daripada kawasan perumahan serta sumber air kritikal bagi mengelakkan isu pencemaran dan gangguan kepada penduduk.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata perkara tersebut disampaikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Beliau berkata ketetapan itu dibuat selepas sembah maklum dengan Sultan Sharafuddin dan perbincangan bersama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Pada Februari, Sultan Selangor bertitah tidak memperkenankan aktiviti penternakan babi di mana-mana daerah di negeri itu, manakala Perdana Menteri juga tidak bersetuju penternakan babi dibuat di kawasan dibantah penduduk tempatan.
Susulan itu, Kerajaan Selangor memutuskan untuk tidak lagi mengeluarkan lesen baharu penternakan babi di mana-mana daerah di negeri itu serta menutup ladang sedia ada secara berperingkat.
Berikutnya, pada April ketika bertitah sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Sultan Sharafuddin menegur sikap segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati serta enggan mematuhi titah larangan penternakan babi di negeri ini.
“Beta telah memberikan faktor-faktor kenapa ternakan babi tidak sesuai di negeri Selangor antaranya faktor tanah yang tidak mencukupi dan ternakan babi diadakan di kawasan penempatan penduduk yang padat dengan umat Islam.
Di samping itu isu pencemaran sungai dan udara juga menjadi faktor kenapa ternakan babi di negeri Selangor tidak sesuai,” titah baginda.
Bagaimanapun ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki ‘membuka semula’ isu itu semasa membahaskan titah ucapan Sultan Selangor dengan memohon pertimbangan kerajaan negeri untuk memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.
Beliau berkata cadangan itu mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Isu penternakan babi tidak seharusnya dibezakan daripada penternakan haiwan lain kerana risiko pencemaran, kebersihan serta kesihatan adalah sama,” katanya.
Nnnn
