Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat BISA 2026

PETALING JAYA 7 Mei  – Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd. (Andalusia), Ida Riswana Idris dipilih sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026 malam tadi.

Beliau menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong sempena Malam BISA 2026 yang berlangsung di Royale Chulan Damansara.

Dalam ucapannya, Ida Riswana berkata, pengiktirafan tersebut amat bermakna buat seluruh keluarga Andalusia yang mempunyai kekuatan, keberanian dan kesabaran untuk terus bangkit.

“Ini bukan milik saya seorang tetapi pertamanya milik bonda saya, seorang wanita yang mendidik saya tentang erti ketabahan,

“Ini juga hasil bimbingan suami saya Haji Ibrahim yang sebenarnya menjadi seorang suami, sahabat perjuangan, rakan bergaduh setiap hari serta seluruh warga Andalusia yang bersama-sama membina perjalanan Andalusia ini.

Semoga segala usaha kecil kami menjadi manfaat pada ummah dan generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada malam BISA 2026.

BISA 2026 merupakan platform pengiktirafan perniagaan nasional bagi meraikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

Lebih 30 penerima anugerah terdiri daripada pelbagai sektor dan industri diraikan termasuk lima penerima Anugerah Pilihan Juri.

Penerima bagi kategori tersebut ialah Mydin Mohamad Holdings Bhd (Mydin), Casalwa Holdings, PKNS Bizz Point, Bank Rakyat serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak ANDORRA yang disifatkan sebagai peneraju dalam bidang masing-masing.

Sementara itu, Andalusia dalam kenyataannya hari ini mengucapkan tahniah kepada Ida RIswana atas penerimaan anugerah itu.

Andalusia menyifatkan anugerah itu penghormatan besar kepada seorang tokoh wanita yang menabur bakti, memimpin dengan hikmah, serta mencorakkan perjalanan sebuah jenama yang kini menjadi antara nama paling dipercayai dalam industri Umrah, Haji dan pelancongan Islamik di Malaysia.

“Anugerah ini bukan sekadar meraikan kejayaan peribadi, malah menjadi lambang
kepada sebuah legasi kepemimpinan yang dibina atas asas amanah, integriti, keteguhan prinsip dan komitmen tanpa jemu.

Di bawah kepemimpinan dan panduan beliau, Andalusia bukan sahaja berkembang sebagai sebuah organisasi, bahkan berjaya membina keyakinan masyarakat terhadap pengurusan perjalanan ibadah yang tersusun, diyakini dan berteraskan nilai syariah,” menurut kenyaraan itu.

Sejak penubuhan Andalusia, Ida Riswana dikenali sebagai sosok pemimpin yang bukan sahaja tegas dalam pentadbiran, malah dekat dengan denyut nadi masyarakat.

Beliau telah memainkan peranan besar dalam memperkukuh tadbir urus syarikat, memelihara kepercayaan pelanggan serta memastikan setiap langkah pertumbuhan syarikat berdiri atas nilai profesionalisme dan tanggungjawab.

Penerimaan anugerah ini juga selari dengan aspirasi BiSA Awards yang diwujudkan sebagai platform menghargai pencapaian usahawan dan pemain industri, di samping memperkukuh jaringan komuniti perniagaan

“Bagi seluruh warga Andalusia, pengiktirafan ini membawa makna yang amat
mendalam, menjadi simbol bahawa kepemimpinan yang dibina dengan keikhlasan,
kesabaran dan visi jangka panjang akan sentiasa meninggalkan kesan yang besar
bukan sahaja kepada organisasi, bahkan kepada industri dan masyarakat.

“Sesungguhnya, sosok seperti Hajah Ida Riswana Idris membuktikan bahawa
kejayaan sebenar bukan hanya diukur pada pertumbuhan perniagaan, tetapi pada nilai yang dipertahankan, kehidupan yang disentuh, dan legasi yang ditinggalkan
untuk generasi seterusnya.

Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd mendoakan agar Hajah Ida Riswana
terus dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan, ketenangan dan keberkatan dalam
meneruskan sumbangan besar kepada organisasi, industri dan ummah,” menurut kenyataan itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment