SOP Thaipusam, Krismas diperhalusi

PUTRAJAYA 14 Dis. – Kerajaan sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan perayaan Krismas dan Thaipusam, kata Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, perincian SOP itu dibincangkan bersama Menteri Perpaduan Negara, Halimah Sadique dan Menteri Sumber Manusia,  M Saravanan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan beberapa pihak berkaitan dalam Mesyuarat Kuartet di Parlimen, hari ini.

Jelasnya, masih ada masa untuk kerajaan memutuskan SOP sambutan kedua-dua perayaan itu sebelum sambutan Krismas pada 25 Disember ini dan Thaipusam pada 18 Januari tahun depan.

Bagi perayaan Krismas, tumpuan diberikan terhadap perangkaan SOP upacara sembahyang, aktiviti berkunjung ke rumah keluarga, persembahan secara langsung, upacara nyanyian koir atau ‘carolling’ dari rumah ke rumah dan gerai jualan Krismas.

Sementara bagi perayaan Thaipusam, menerusi perbincangan bersama Saravanan, tumpuan diberikan terhadap perangkaan SOP upacara sembahyang di kuil, perjalanan dan pergerakan kereta ‘Chariot’, membawa kavadi, membawa belanga susu, mencukur rambut, upacara ritual (mandi) di sungai dan pembukaan gerai jualan.

“Pihak KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perpaduan Negara dan pihak kuil akan turun ke lapangan untuk meneliti kapasiti ruang, keperluan logistik serta tempat persinggahan sepanjang perjalanan dan pergerakan kereta ‘Chariot’,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Related posts

Leave a Comment