SEKALI lagi minggu ini, penulis menyambung bicara berkaitan pengangkutan awam iaitu teksi. Pastinya ada yang bosan selepas membaca Siapa peduli apabila Pak Lang dan Pak Long ditipu penumpang (19 April) dan Siapa edar risalah penguatkuasaan? LPKP atau orang ketiga? (26 April).
Akhirnya persoalan itu terjawab. Siapa yang dimaksudkan ialah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Minggu ini, biarlah dijelaskan pendirian LPKP.
Minggu lepas, 27 April, penulis menerima kenyataan daripada Unit Perhubungan Awam LPKP sebagai menjawab tulisan Selak keluaran 26 April. Pengerusi LPKP, Halimah Sadique juga memberi jawapannya. Terima kasih atas reaksi yang diberi.
LPKP juga dikatakan memberi maklum balas tulisan Selak keluaran 19 April tentang siapa bertanggungjawab menjaga kebajikan pemandu teksi. LPKP memaklumkan, pemandu boleh menyalurkan pandangan atau permasalahan secara terus kepada LPKP menerusi talian hotline 1800-88-9600. Lihat juga Forum Pembaca (muka 12) hari ini. Pemandu digalakkan bergiat aktif di dalam persatuan kerana LPKP sentiasa memberitahu dasar dan peraturan semasa serta mengadakan perbincangan mengenai isu-isu perkhidmatan teksi dan kebajikan pemandu mereka.
Komen penulis: Eloklah pemandu yang tidak terlibat dengan syarikat menjadi ahli persatuan. Tetapi persatuan pula hendaklah aktif. Bukan sekadar meminta yuran keahlian, selepas itu dibiarkan pemandu keseorangan. Kunjungilah pemandu yang dibelasah dan ditipu penumpang.
Persatuan teksi jangan malas. Apa juga perkembangan yang disampaikan LPKP panjangkan kepada pemandu. Kalau boleh LPKP sediakan hotline khusus kepada pemandu.
Mengenai pelekat, LPKP telah mengadakan perjumpaan dengan persatuan dan pengusaha teksi bagi mencapai kaedah terbaik untuk mempamerkan senarai kesalahan pemandu di dalam teksi. Keputusannya, senarai peraturan sama ada ditampal atau digantung pada bahagian belakang tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan. Mengenai cadangan penulis memperkenalkan maklumat secara skrin elektronik bagi menjaga ‘kebersihan’ teksi, LPKP tiada halangan jika syarikat teksi mempunyai peruntukan.
Komen penulis: Tak payahlah paparan elektronik itu kerana akhirnya akan membebankan pemandu. Cukuplah beban yang ada.
Mengenai bilangan tempat duduk teksi bajet, kenyataan itu menjelaskan ia bertepatan dengan Akta LPKP 1987 iaitu kenderaan motor yang muatan duduknya tidak melebihi enam (6) orang termasuk pemandu. Penentuan bilangan tempat duduk bergantung kepada spesifikasi kenderaan yang dinyatakan di dalam geran kenderaan dan lesen LPKP.
Komen penulis: Kalau tak silap kebanyakan teksi di Lembah Klang ialah Iswara, Wira, Waja dan Proton hanya mampu membawa tiga penumpang di belakang dan seorang di depan. Dicampur pemandu jadi lima. Tidak pasti teksi bajet mana satu boleh menyumbat sehingga lima penumpang (4+1). Apatah lagi apabila dinaiki Pak Arab atau Mat Salleh.
LPKP juga menjawab ayat ‘meragukan’ dalam tulisan penulis:
i. Dilarang melanggan penumpang bermaksud pemandu tidak dibenarkan keluar dari kenderaan mencari penumpang seperti memanggil atau melambai penumpang.
ii. Tidak boleh meninggalkan tempat duduk pemandu bermaksud pemandu tidak boleh meninggalkan kenderaannya di tempat awam yang boleh menghalang lalu-lintas.
Menurut kenyataan itu lagi, senarai yang tertera dalam risalah merupakan peraturan yang wajib dipatuhi pemandu dalam memberi kan perkhidmatan. Sekiranya melanggar peraturan tersebut, ia dianggap satu kesalahan. Dengan itu bagi LPKP penggunaan perkataan melanggar adalah tepat.
Penulis menghormati pendirian tegas LPKP untuk menguatkuasakan peraturan dengan pelbagai maklumat. Mengenai meter sahaja, sekurang-kurangnya ada tiga peringatan. Pertama apabila penumpang menahan teksi, ‘dijambul’ sudah tertera teksi bermeter. Di pintu belakang (kiri kanan) tertampal menyatakan teksi bermeter (meter tidak terpakai apabila kupon digunakan di kawasan tertentu). Di dalam teksi pula ada meter dan pelekat mengenai meter. Cuma terserah kepada pemandu sama ada nak ikut atau nak adjust meter itu. Di kebanyakan tempat di luar Kuala Lumpur, seperti di stesen komuter, jarang teksi bermeter menggunakan meter. Mereka ikut kaedah kereta sewa yang letak harga.
Penulis tidak bermaksud untuk mewujudkan konfrontasi dengan LPKP tetapi hakikatnya, biarlah sesuatu yang ingin kita lakukan itu mendapat reaksi positif khususnya daripada pemandu. Tidak ada gunanya jika sebuah teksi dipenuhi pelbagai risalah dan pelekat tetapi sikap pemandu tidak berubah.
Tidak apalah LPKP mahu mempertahankan perkataan melanggar peraturan. Melanggar membawa maksud menyalahi, menentang atau tidak mematuhi peraturan.
Tetapi dalam keadaan tertentu perkataan melanggar yang diikuti ayat seperti dalam risalah itu boleh membawa maksud berbeza.
Contohnya ayat ini: Laporkan aduan anda sekiranya teksi dan pemandu tidak mematuhi (menggantikan melanggar) peraturan-peraturan berikut:
– Mempamerkan kad pemandu di dashboard kenderaan.
– Menggunakan meter.
– Berkelakuan baik dan beradab. Ayat di atas membawa maksud sekiranya pemandu (bukannya teksi kerana teksi benda yang tidak boleh mematuhi atau melanggar peraturan) tidak mempamerkan kad pemandu, tidak menggunakan meter dan tidak berkelakuan baik dan beradab. Maksudnya tepat.
Tetapi bagaimana pula dengan ayat berikut:
Laporkan aduan anda sekiranya teksi dan pemandu tidak mematuhi (melanggar) peraturan-peraturan berikut:
– Tidak merokok di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan atau apabila penumpang sedang berada di dalam kenderaan.
– Tidak mengubahsuai meter.
– Tidak membawa penumpang berlebihan.
Apakah ia membawa maksud pengguna boleh melaporkan sekiranya pemandu tidak merokok? Tidak mengubahsuai meter? dan tidak membawa penumpang berlebihan?
Bagaimana pula jika disambung dengan ayat berikut: Meter teksi tidak ditutup atau dihadang dan tidak menetapkan bayaran dan tawar-menawar sebelum bersetuju memberikan perkhidmatan.
Penulis pun pening apabila seorang dua pemandu teksi bertanyakan soalan ini. Berkali-kali penulis baca dan baca. Maksudnya penulis faham tetapi mungkin penggunaan ayat itu agak mengelirukan.
Sebagai ‘duta’, pemandu teksi juga membawa imej negara. Maka di sini juga pentingnya penggunaan bahasa yang mudah, betul dan tepat dipamerkan di dalam teksi.
Maka dalam hal ini penulis lebih senang jika tajuk senarai itu diubah. Seperti kenyataan LPKP bahawa senarai yang tertera dalam risalah merupakan peraturan yang wajib dipatuhi. Maka kenapa tidak ditulis saja Peraturan-peraturan berikut WAJIB dipatuhi oleh pemandu teksi.
Dan di bawah sekali, baru ditulis laporkan aduan anda sekiranya pemandu gagal mematuhi peraturan. Akhirnya satu lagi kemusykilan ialah peraturan tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit atau sebarang alat komunikasi melainkan peralatan yang tidak menggunakan tangan. Kebanyakan teksi yang menggunakan khidmat radio teksi menggunakan tangan apabila menjawab panggilan syarikat radio.
Tidak kiralah siapa yang membuat pelekat senarai itu, LPKP perlu memantaunya supaya maklumat yang diberi tepat dan mantap. Mujurlah ada pembetulan antara dua pelekat yang penulis terima sebelum ini. Contohnya ejaan Perlesenan sudah ditukar kepada Pelesenan; surat boleh dijalankan ditukarkan kepada dialamatkan dan teksi bajet daripada enam orang kepada lima orang.
Untuk makluman pemandu teksi, LPKP telah mengeluarkan Pekeliling Bil. 2/2010 yang mewajibkan mereka mempamerkan senarai peraturan yang perlu dipatuhi. Pekeliling ini turut diedarkan kepada pengusaha dan pemandu. Oleh kerana tidak mempunyai peruntukan, LPKP mengarahkan pengusaha dan persatuan teksi mencetak pelekat mengguna format seperti yang dimuat naik dilaman web LPKP dan memantau cetakan itu menepati format.
Komen: Sejauh mana semua pemandu permit persendirian mendapat maklumat ini? Pada senarai itu juga seharusnya ada dinyatakan pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan arahan ini.
Apa yang dilakukan LPKP amat baik tetapi sejauh manakah penguatkuasaannya? Semua peraturan itu berkait rapat dengan sikap pemandu itu sendiri. Bagi penumpang, yang penting bagi mereka ialah teksi tidak memilih destinasi dan paling penting menggunakan meter!
UMA030510007C001-min