Pengundi digalak pakai pelitup muka

PUTRAJAYA 14 Nov. – Individu positif Covid-19 yang akan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) wajib memakai pelitup muka, manakala pengundi-pengundi lain digalakkan berbuat demikian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pengundi positif Covid-19 juga tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing dan tidak singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pesakit juga perlu pulang segera selepas selesai mengundi.

Katanya, bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar dan selamat terutama untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan, pengundi positif Covid-19 juga perlu mematuhi penjarakan fizikal yang selamat, manakala penjarakan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan.

Pengundi juga perlu menggunakan sanitasi tangan yang disediakan di tempat mengundi, selain disyorkan membawa sanitasi tangan sendiri.

Dr Noor Hisham berkata, individu yang belum menerima dos penggalak vaksin Covid-19 dinasihatkan supaya segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang sekeliling.

“Marilah kita bersama-sama mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 kepada pengundi dan petugas di pusat mengundi sepanjang PRU15,” katanya.

Beliau berkata, petugas kesihatan akan ditempatkan di pusat pengundian bagi membantu melicinkan urusan pengundi positif Covid-19 dan menasihatkan mereka untuk mematuhi nasihat petugas kesihatan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment