KUALA LUMPUR 11 Feb. – Penyasaran subsidi petrol RON95 di bawah Program BUDI MADANI 95 (BUDI95) yang boleh dinikmati semua rakyat tanpa mengira tahap pendapatan terbukti kaedah terbaik dan paling praktikal.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata, selain itu langkah tersebut turut meminimumkan kerenah birokrasi yang perlu didepani kerajaan.
Katanya, berbanding pendekatan bersasar seperti mengikut rekod pendapatan, kaedah terbabit hanya akan mengundang terlalu banyak masalah sedangkan petrol RON95 digunakan hampir semua rakyat.
“Realitinya, hanya dua peratus pengguna dalam kalangan berpendapatan tinggi di negara ini, dengan pendapatan mereka melebihi RM25,000 sebulan.
“Justeru jika hanya rakyat berpendapatan rendah diberikan subsidi, ia tidak praktikal kerana terlalu ramai rakyat yang berpendapatan RM13,000 ke bawah,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri berkata ada cadangan awal daripada Jabatan Perangkaan Malaysia supaya menetapkan pendapatan RM13,000 ke bawah bagi melayakkan mereka dikecualikan atau tak dinaikkan harga untuk petrol RON95.
Bagaimanapun, perkiraan RM13,000 itu dilihat terlalu rendah, dan Jemaah Menteri ketika itu menolak cadangan tersebut dengan alasan jika dilaksanakan, berisiko mengundang masalah, mengambil kira terlalu ramai penjawat awam, petani, peladang yang pendapatannya di bawah paras RM13,000.
“Kalau kita naikkan pula, maknanya mereka berpendapatan RM25,000 sebulan kena bayar kos minyak sepenuhnya dan tanpa subsidi… ini juga tak berbaloi (kerana) setelah segala mekanisme (diperkenal), kemudian nak selamatkan hanya dua peratus jumlah pengguna.
“Jadi, pertimbangan kerajaan sekarang ini untuk penyasaran subsidi minyak, baiklah kita jalankan (BUDI95)… kerana jika nak jimatkan untuk dua peratus (rakyat berpendapatan tinggi), ini tambah kos lagi dengan kerenah pentadbiran, hanya akan undang terlalu banyak masalah sedangkan minyak ini digunakan hampir seluruh rakyat,” katanya.
Mengenai soalan berkaitan harga barang yang didakwa masih melambung tinggi dengan kos sara hidup turut meningkat, sedangkan kerajaan menyifatkan BUDI95 mengurangkan defisit fiskal negara, Anwar mengakui kerajaan sedar dan memberikan perhatian penuh kepada isu inflasi dan kemiskinan tegar didepani rakyat di negara ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata,, melihat kepada unjuran semasa, kadar inflasi negara merekodkan penurunan iaitu 1.4 peratus pada tahun lalu, berbanding 1.8 peratus pada 2024.
Begitu juga bagi kadar kemiskinan tegar yang jumlahnya menurun dari 0.2 peratus pada 2022 kepada 0.09 peratus pada 2024.
“Dikaitkan kos barang dengan isu kos sara hidup dengan turunnya harga minyak, tentunya (kos sara hidup) menurun, tetapi harga barang ini juga dibantu melalui SARA.
“Jadi bantuan seperti SARA dan STR misalnya yang cecah RM15 bilion ini harus dilihat bersama kos sara hidup.
“Bila kos meningkat, kita (salur) juga RM15 bilion untuk naikkan gaji penjawat awam. Jadi (keseluruhannya) tambahan RM30 bilion, ini juga kerana kita ambil kira memang harga barang masih merunsingkan.
“Kita tak mampu selesaikan semua seperti mana beberapa kos barangan import yang masih tinggi,” katanya.
Anwar turut mengakui kerajaan masih menjalankan pelbagai usaha untuk mendapatkan penyelesaian lebih menyeluruh, termasuk mengawal harga barang terutama di daerah atau kawasan tertentu yang dilaporkan masih tinggi.
Nnnn
