Punca kedudukan Melayu, Islam diperlekehkan

KE MANA Melayu dengan Islamnya? Persoalan ini bukan bertujuan menuntut jawapan yang tuntas. Cukuplah sekadar untuk mengajak kita berfikir tentang kemungkinan yang bakal berlaku jika kedudukan Melayu dan Islam tidak diperkukuhkan. Mungkin ada dalam kalangan kita yang tidak ambil pusing atau tidak kisah dengan apa yang berlaku kepada orang Melayu dan Islam. Bagi mereka, apa yang hendak dirisaukan kerana Melayu Islam masih boleh melakukan ibadah tanpa sekatan. Larangan azan menggunakan pembesar suara atau membaca al-Quran pada waktu Subuh hanyalah satu perkhabaran yang tidak betul, propaganda yang digembar-gemburkan. Begitu juga peluang lain yang seharusnya diperoleh orang Melayu seperti berkaitan pendidikan dan perumahan. Tidak ketinggalan isu berkaitan bahasa Melayu, institusi raja serta hak yang termaktub di dalam perlembagaan.

Bagi sesetengah orang, mereka tidak bimbang dengan peluang anak Melayu kerana masih ramai yang berjaya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara. Dalam sesetengah isu, ketika ada desakan bukan Melayu supaya peluang sama rata diberikan, ada pula orang Melayu yang menyokong dan menyambut baik seruan itu atas alasan kesamarataan. Dalam erti kata lain, mereka yakin kedudukan orang Melayu sebenarnya tidak tergugat jika peluang sama rata diberikan. Pada masa yang sama mereka selesa dengan apa yang ada. Ketika orang lain termasuk bukan Melayu berlumba-lumba mengukuhkan kedudukan ekonomi, mereka menyerahkan kepada nasib tanpa meningkatkan usaha. Malangnya apabila orang lain berjaya, mereka cemburu dan membuat pelbagai andaian termasuk menggelapkan wang atau terlibat rasuah. Memang tidak dinafikan rasuah berlaku dalam masyarakat tetapi adakah semuanya begitu? Adakah mereka yang berjaya itu khususnya dalam kalangan orang Melayu disebabkan kroni, rasuah dan penuh tipu muslihat? Apakah tidak ada langsung sedikit rasa yakin dengan keupayaan Melayu yang berjaya kerana usaha dan kepandaian mereka menambah ilmu sekali gus mencipta peluang untuk mendapatkan kekayaan? Memang kita harus bersyukur dengan apa yang ada. Apakah perasaan anda jika ketika anda memiliki kereta mewah atau berharga mahal, orang lain yang sekadar Proton Saga mempunyai tanggapan serong terhadap keupayaan anda? Adakah mereka yang tidak hidup mewah itu sahaja menjadi kayu ukur sebagai insan yang benar-benar bersih dan jujur untuk men-capai kejayaan di dunia ini? Adakah orang lain yang berjaya dan hidup mewah itu sebagai penerima rasuah dan ‘perompak’? Buanglah penyakit hasad dengki melihat kejayaan sesama bangsa. Orang lain ‘bersorak’ gembira melihat sesama bangsa mempunyai perasaan hasad dengki terhadap kejayaan yang dikecapi. Janganlah kita menuding jari kepada orang lain, apabila hak yang termaktub di dalam perlembagaan dan kesucian agama dipertikaikan satu persatu. Ingatlah satu jari telunjuk menyalahkan orang, empat lagi jari menghala kepada diri sendiri.

Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, sama ada sedar atau tidak, pelbagai isu timbul yang cuba menghakis benteng kemelayuan dan keislaman. Di manakah silapnya? Adakah puncanya disebabkan oleh orang bukan Melayu dan bukan Islam? Semakin ramai yang berani membuat tafsiran sendiri terhadap perlembagaan negara dan hukum-hakam Islam. Perbezaan pendapat yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat Melayu dan Islam hanya mencemarkan nama baik bangsadan agama. Cuba kita selak semula apa yang telah berlaku melibatkan orang Melayu terutama Islam itu sendiri. Trend hari ini, seolah-olah terdapat usaha bersungguh-sungguh untuk memesongkan akidah umat Islam melalui pelbagai cara. Lebih malang tindak tanduk yang kelihatan cuba memperkecilkan agama Islam itu melibatkan orang Melayu Islam sendiri.

Selaklah pelbagai isu yang dilihat cuba mencabar hukum agama. Dalam isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) misalnya, ada dalam kalangan orang Melayu Islam yang menyokongnya atas nama kebebasan dan hak asasi manusia walaupun ia jelas melanggar hukum agama dan adat susila. Ada juga desakan supaya Malaysia menghapuskan undang-undang berkaitan jenayah liwat. Begitu juga desakan supaya penganut Islam diberi kebebasan untuk menukar agama yang secara tidak langsung memudahkan usaha memurtadkan orang Melayu Islam. Kita masih ingat bagaimana ada pihak yang mempertikaikan hukuman sebat ke atas wanita yang melakukan persetubuhan haram. Hukuman itu dianggap diskriminasi terhadap wanita sedangkan hakikatnya sudah tersedia undang-undang berkaitan di bawah undang-undang syariah.

Ada juga yang mempertikaikan fatwa mengharamkan wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik. Baru-baru ini timbul pula program I Want to Touch a Dog (Saya mahu sentuh anjing). Mungkin disebabkan alasan Islam itu mudah dan haiwan itu juga makhluk Tuhan, maka yang haram dihalalkan. Apa sudah jadi dengan orang Islam Malaysia hari ini? Adakah disebabkan sikap Melayu Islam sendiri, maka timbul pelbagai penghinaan seperti penganjuran pesta arak, pesta bogel, menjadikan babi juadah berbuka puasa, dan banyak lagi perkara berkaitan agama Islam dipersendakan tanpa perasaan takut dan bimbang? Semakin hari semakin banyak isu yang ditimbul dan dibahaskan oleh golongan tidak berkelayakan dalam bidang agama sehingga menimbulkan salah faham terhadap Islam dan mencalarkan maruah agama dan umat Islam seluruhnya. Ketika ini juga timbul isu berkaitan Operasi Gempur Aurat anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang jika disalah tafsir boleh menimbulkan kebencian terhadap ajaran Islam. Operasi yang bertujuan menangkap wanita Islam yang tidak menutup aurat ketika bekerja di kompleks perniagaan dengan kadar denda RM500 itu bukanlah perkara baru. Janganlah bukan Islam mempertikaikan operasi ini dan bertindak berlebihan dalam soal aurat orang Islam.

Suatu masa dulu juga timbul isu pengkid, golongan wanita membawa imej lelaki dan lelaki membawa imej wanita. Pengkid merujuk kepada gadis yang mempunyai penampilan fizikal mirip lelaki, terserlah sifat kelakian (kejantanan) sehingga ada yang merasakan bahawa diri mereka benar-benar lelaki. Pengkid cenderung untuk menjalinkan hubungan intim dengan wanita. Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan yang bersidang pada 18 Disember 2008 memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki, dan lelaki yang menyerupai wanita (maknyah/ pondan) sama ada dari segi pakaian, penampilan dan gerak laku serta naluri seksual seperti wanita adalah haram di sisi Islam. Bagi masyarakat Islam, bukan jumlah hukuman denda atau penjara yang dipersoalkan tetapi yang lebih penting ia melibatkan soal hukum Allah. Diharapkan, isu berkaitan lelaki berpakaian Islam dan sebaliknya dapat dirungkai segera. Harus diingat, ini bukan kali pertama isu seperti ini timbul di mahkamah.

Masihkah kita ingat kes melibatkan penyanyi dikir barat di Kelantan pada 22 Julai lalu? Mohd Hafiz Jeffri, 28 atau ‘Kajol’ dijel enam minggu dan denda RM1,000 kerana berpakaian seperti perempuan. Kajol mempunyai dua rekod bagi kesalahan sama dengan kali pertama dia didenda RM1,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Pasir Mas pada 2010 manakala kesalahan kedua, didenda RM1,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah pada 2011. Sesuatu harus dilakukan supaya hukuman berkaitan kes fatwa dan syariah dapat diseragamkan di seluruh negara. Jangan biarkan gelombang penen-tangan secara halus menjejaskan akidah umat Islam.

UMA101114010C#

Related posts

Leave a Comment