WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menggugurkan Syria daripada senarai negara penaja keganasan, membatalkan status yang dikenakan sejak beberapa dekad lalu dan membawa sekatan ekonomi yang ketat terhadap negara itu.
Jabatan Negara AS turut membatalkan penyenaraian Barisan al-Nusra, kini dikenali Hay’at Tahrir al-Sham (HTS), sebagai organisasi pengganas global, yang mengetuai kumpulan pemberontak menggulingkan pemerintahan Presiden Bashar al-Assad pada Disember 2024.
Pemimpinnya, Ahmed al-Sharaa, kemudian mengambil alih jawatan Presiden ketika Syria berusaha membina semula negara itu selepas lebih 13 tahun konflik perang saudara.
Pada masa sama, Jabatan Perbendaharaan AS mengumumkan kelonggaran sekatan berkaitan.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, langkah terbaharu itu dijangka membuka ruang kepada lebih banyak pelaburan asing yang dapat membantu menstabilkan politik dan ekonomi Syria.
Menerusi satu kenyataan, beliau berkata, tindakan hari ini akan membantu menggalakkan pelaburan tambahan di Syria bagi mempromosikan kestabilan politik dan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Jabatan Perbendaharaan, keputusan itu selaras dengan komitmen Presiden Donald Trump untuk memberikan kelonggaran sekatan terhadap Syria.
Agensi itu bagaimanapun menegaskan bahawa pengguguran sekatan ke atas Syria tidak mengubah pendirian Washington dalam memerangi keganasan global dan memastikan pihak yang melakukan pelanggaran undang-undang di Syria terus dipertanggungjawabkan.
