KUALA LUMPUR 25 Ogos – Bekas Ketua Audit Negara Madinah Mohamad menegaskan beliau akan menjadi individu pertama tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa jika terbukti berlaku kecurian secara langsung dalam Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang tempoh yang dirujuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Beliau yang berkhidmat dari 2017 hingga 2019 menjelaskan, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 yang disediakan bersama pasukannya ketika itu adalah berdasarkan piawaian serta bukti audit sebelum penyata atau sijil dikeluarkan.
“Saya tidak nampak apa-apa bukti sedemikian (unsur kecurian dalam TH) ketika masih bergelar Ketua Audit Negara sebelum ini.
Yakinlah, saya bukan sahaja tak sembunyi, malah akan memberi tumpuan dan melaporkan kepada pihak berkuasa, jika saya dan pasukan menemui bukti (berlaku kecurian dalam TH).
“Pengauditan dibuat mengikut piawaian, berdasarkan bukti pengauditan sebelum penyata atau sijil dikeluarkan. Kami ikut fakta dan bukti, selain berpijak di bumi nyata,” katanya pada program Musyawarah Nasional ‘Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji’, di sini, hari ini.
Beliau yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) turut mempersoalkan sama ada RCI menyebut penyelewengan atau kecurian.
“Adakah dalam itu disebut ada penyelewengan ke atau kecurian? Ada tak sebut? Tak ada. Jadi Datuk (merujuk kepada peserta), minta maaf, saya tak boleh nak jawab dan saya tak faham apa erti ‘sakau’. Saya berpijak di bumi yang nyata,” katanya.
Madinah menjawab pertanyaan salah seorang peserta pada program berkenaan yang mahu tahu jika wujud kecurian atau penyelewengan ketika beliau menjalankan audit ke atas TH.
Dalam pada itu, mengulas sama ada keterangan beliau, sekiranya hadir pada prosiding RCI akan mengubah laporan yang dihasilkan suruhanjaya itu, Madinah memberi gambaran mungkin ia menghasilkan dapatan yang berbeza.
Madinah berkata beliau menyerahkan kepada RCI untuk menentukan sama ada perkara itu dilihat sebagai faktor mitigasi, termasuk berkaitan dakwaan bahawa Ketua Audit Negara tidak tegas dalam menjalankan tanggungjawabnya.
“Apa yang akan saya katakan (jika dipanggil), adalah perkara yang sama seperti yang saya jelaskan hari ini.
“Sama ada RCI melihat perkara itu sebagai faktor mitigasi dan tidak menganggap Ketua Audit Negara sebagai tidak tegas, perkara itu bukan dalam pengetahuan saya,” katanya.
Madinah seperti dilaporkan BH pada 13 Ogos lalu terkilan kerana tidak dipanggil pada prosiding oleh RCI TH walaupun beliau sedia memberi keterangan kepada panel siasatan itu.
Katan, beliau sudah berada di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (j) ketika prosiding RCI TH itu berlangsung tetapi namanya tidak dipanggil.
“Saya sudah pergi ke sana pada hari dan masa ditetapkan di Jakim. Saya menunggu lebih dari 30 minit tetapi terkilan, akhirnya tidak dipanggil.
“Hak saya untuk didengari dinafikan apabila tidak dipanggil dalam prosiding itu walaupun sudah hadir dan menunggu di situ,” katanya kepada BH,
Hhhh.
