Kurikulum baharu Sejarah tahun 2027

KUALA LUMPUR 11 Feb. – Dewan Rakyat hari ini diberitahu, kurikulum baharu mata pelajaran Sejarah akan bermula tahun depan di peringkat sekolah rendah dan menengah, membabitkan hanya murid Tingkatan Satu dan Tahun Satu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata ia kemudian diteruskan secara berperingkat pada 2028 untuk Tingkatan Dua dan Tahun Dua.

“Berkenaan kurikulum (mata pelajaran Sejarah) yang sedang diguna pakai oleh KPM, ia sememangnya akan digunakan untuk satu tempoh dan bila sampai (sesuatu tempoh), kita akan memperkenalkan kurikulum baharu,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA- Muar) mengenai kurikulum baharu mata pelajaran Sejarah seerta jangka masa tertentu ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melakukan semakan semula kurikulum mata pelajaran itu.

Kah Woh juga menjelaskan, semakan kurikulum hanya dibuat sekiranya didapati ada keperluan, boleh dilakukan dari semasa ke semasa, tetapi pihak KPM selalu memastikan ia selaras Falsafah Pendidikan Negara.

“Pada masa sama, ia harus seimbang dengan semua segmen dipertimbangkan,” katanya.

Syed Saddiq turut menyuarakan pandangannya supaya KPM mengambil langkah berhati-hati untuk tidak memasukkan politik kepartian dalam silibus Sejarah.

“Dalam kita ingin menyemak kurikulum atau memasukkan input sejarah baharu (dalam subjek Sejarah), saya harap kementerian sangat berjaga-jaga.

“Lensa sejarah kalau diwarnai politik kepartian, walaupun memihak kepada kita, boleh menyebabkan ibu bapa tidak selesa menghantar anak ke sekolah dan akhirnya menyebabkan negara rugi secara keseluruhan.

“Kalau kita fokus soal keprihatinan rakyat secara am, (misalnya) isu Rukun Negara, tak ada orang yang akan bangkang. Namun jika diselit (politik kepartian), takut ia diperbesarkan dan perkara yang baik (dalam buku teks Sejarah) akan tercicir,” katanya.

Kah Woh yang bersetuju dengan pandangan Syed Saddiq menjelaskan pendirian KPM mengenai topik termasuk berkaitan politik dalam subjek Sejarah.

“Sememangnya kita (KPM) memastikan kurikulum Sejarah kekal relevan, pada masa sama dipastikan kandungan itu seimbang, bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment