KUALA LUMPUR 4 Jun – Anwar Ibrahim berkata, permohonan bagi merujuk lapan persoalan undang-undang, antaranya sama ada Perdana Menteri memiliki kekebalan daripada sebarang tindakan saman itu, bukan bersifat peribadi.
Menerusi entri di laman Facebooknya, beliau turut menegaskan permohonan berkenaan juga bukan untuk mengelak daripada penelitian undang-undang.
Sebaliknya, ia difailkan berdasarkan kepentingan aspek integriti sistem Perlembagaan negara, selain keperluan memastikan jawatan awam tertinggi dilindungi daripada tindakan guaman yang mungkin bersifat strategik, bermotifkan politik atau mengganggu institusi.
“Mahkamah Tinggi (Kuala Lumpur) petang tadi, menolak permohonan saya merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara ini (permohonan difailkan Anwar) tidak pernah berkait dengan usaha mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelak daripada penelitian undang-undang,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Presiden PKR itu sebelum ini memohon merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Anwar memohon Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan, termasuk sama ada mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan, menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikan beliau.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar bagi merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Rujukan persoalan undang-undang itu berkaitan saman sivil difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung insiden yang berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.
Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan itu selepas mendapati persoalan dikemukakan bersifat spekulatif dan tidak perlu bagi pelupusan kes saman berkenaan serta tidak membabitkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan Perlembagaan.
Berikutan keputusan itu, Anwar menegaskan beliau akan meneruskan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri tanpa gangguan mahupun kompromi.
“Saya komited terhadap kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan maruah tadbir urus demokratik. Proses perundangan bakal diteruskan dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab tanpa gangguan atau kompromi,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.
Sementara itu dalam sidang media selepas keputusan hari ini, peguam Anwar, K Rajasegaran berkata mereka akan memfailkan rayuan serta-merta ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Rajasegaran berkata, lapan persoalan dikemukakan itu bukan bersifat abstrak atau akademik, sebaliknya membabitkan isu perlembagaan yang serius dan belum diselesaikan.
Beliau berkata, isu tersebut termasuk perlindungan terhadap fungsi eksekutif, risiko litigasi bermotifkan politik, dan skop Perkara 5(1), 8(1), 39, 40, dan 43 Perlembagaan Persekutuan.
“Kami juga akan memohon penangguhan prosiding perbicaraan bagi memelihara integriti proses rayuan dan memastikan defendan (Anwar) tidak terdedah kepada prosiding yang akhirnya mungkin didapati tidak dibenarkan oleh perlembagaan,” katanya.
Nnnn