Mahdzir nafi ‘Langkah London’

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Naib Presiden UMNO, Mahdzir Khalid mengaku ke London tetapi menafikan wujud ‘Langkah London’ dan pembabitannya dalam gerakan yang dikatakan mahu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Mahdzir  berkata, adalah terlalu jauh untuk beliau membuat gerakan menjatuhkan kerajaan dan tidak tahu mengapa sering dikaitkan dengan tindakan sedemikian.

Katanya, dakwaan pembabitannya itu tidak betul kerana beliau tidak berjumpa sesiapa pun di London.

“Saya nafi kerana tidak ada pun, memang saya pergi London tapi saya tidak jumpa pun dengan sesiapa dan orang-orang yang disebut dalam dakwaan itu.

“Malah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pun sudah buat kenyataan, dia tidak ada di London dan berada di Dubai,” katanya dalam sidang media di Menara Dato Onn, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan seorang penulis blog mengenai pembabitan beliau bersama Ismail dalam gerakan menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2022 bermula malam ini.

Seorang penulis blog mendakwa dua Naib Presiden UMNO itu mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin di London untuk menjatuhkan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO.

Dakwaan itu menyatakan gerakan sulit yang dinamakan ‘Langkah London’ bertujuan menjatuhkan Ahmad Zahid dalam usaha menggulingkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Ismail Sabri yang juga bekas perdana menteri menjelaskan sebelum ini beliau bercuti dengan keluarganya di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dari 22 Disember hingga 3 Januari lalu, tarikh yang didakwa beliau menemui pemimpin politik di London.

“Ke mana saja saya pergi ada sahaja ‘langkah’, jadi saya ada di London baru-baru ini, jadi saya fikir jauh nak pergi sampai ke London.

“Dulu (ada) Langkah Kajang saja, tidak betul sebenarnya (Langkah London), jadi saya fikir sebagai orang lama dalam UMNO, saya pun telah bersetuju dengan parti menubuhkan Kerajaan Perpaduan dan saya berada dalam mesyuarat di mana keputusan dibuat menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH).

“Mengapa pula ada sekumpulan dikaitkan dengan nama saya pergi ke London adakan mesyuarat dan berusaha untuk mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment