SEPANG 4 Jun – Dr Mahathir Mohamad berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana memberi penjelasan berkait dengan pengampunan Anwar Ibrahim melalui satu kenyataan media semalam.
Dr Mahathir berkata, penjelasan itu melepaskan beliau daripada tuduhan-tuduhan tidak mengikut proses yang betul di dalam mendapatkan pengampunan untuk Anwar sepertimana beberapa tindakan sebelum ini antaranya kes Pulau Batu Putih.
Menurut beliau, sejak pengampunan Anwar diumum pada Mei 2018, beberapa pengamal undang-undang, ada yang agak rapat dengannya dan yang tidak suka dengannya, telah mempertikai proses pengampunan tersebut.
“Seingat saya, ada seorang peguam telah memfailkan saman mencabar kesahihan pengampunan Anwar selepas sahaja saya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada bulan Februari 2020.
“Anwar ketika itu cuba membatalkan saman tersebut tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi. Namun permohonannya dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan atas alasan plaintif tidak ada locus standi (hak).
“Mahkamah Persekutuan kemudiannya turut menolak rayuan plaintif kerana isu itu sudah menjadi akademik dan pengampunan dilakukan mengikut perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan..
Semalam, AGC menafikan dakwaan Dr Mahathir bahawa pengampunan Anwar Ibrahim adalah tidak sah.
Menurut AGC, suatu Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-51 telah diadakan pada hari Rabu 16 Mei 2018, jam 11.00 pagi, di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Dr Mahathir berkata, walaupun keputusan telah dibuat, apabila timbul isu addendum di dalam titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkait dengan bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak dan usahanya mendapatkan kelonggaran tahanan rumah, isu pengampunan Anwar timbul kembali.
Katanya, penyokong Najib mempertikai kenapa titah YDPA tidak dituruti sedangkan apabila Anwar mendapat pengampunan penuh yang dianggap luar biasa sebelum itu boleh dilaksanakan.
“Maka pengamal undang-undang tampil lagi mempertikai proses pengampunan Datuk Seri Anwar kerana berlaku percanggahan dari segi pelaksanaan pengampunan Datuk Seri Anwar berbanding dengan addendum tahan rumah Datuk Seri Najib yang dikatakan telah dititahkan oleh Yang diPertuan Agong ketika itu.
Sekali lagi peranan saya di dalam proses pengampunan Datuk Seri Anwar dipertikai.
Bagi pengkritik Anwar, tindakannya untuk mendapatkan imuniti itu bertentangan dengan konsep keadilan Negara di mana tidak ada seorang pun yang mempunyai kekebalan dari menghadapi proses undang-undang apabila dituduh melakukan kesalahan,” ujarnya.
Tegasnya lagi, tindakan meminta imuniti telah membuat beberapa pihak mengaitkan ‘keistimewaan’ yang dipohon Anwar itu sama seperti yang diterimanya ketika mendapat pengampunan penuh.
“Pihak AGC harus sedar semua pertikaian berkenaan Anwar saling berkaitan dan jika tidak ditangani akan menular menjadi penyakit yang terus menghakis kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan negara.
Nnnnn