KUALA LUMPUR 23 Ogos – UMNO akan menghantar wakil ke Muktamar Tahunan Pas Ke-72 yang dijadualkan berlangsung di Kota Bharu, Kelantan, awal bulan depan, kata Presidennya, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, siapa yang akan mewakili UMNO akan ditentukan kemudian
“Kita pasti akan hantar wakil ke muktamar berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, berkata parti itu sudah menghantar jemputan kepada Ahmad Zahid dan tiga lagi pimpinan UMNO pada Rabu lalu untuk menghadiri muktamar berkenaan yang dijadualkan pada 4 dan 5 September.
“Kita masih menunggu. Kita menjemput Presiden UMNO sendiri serta tiga pimpinan parti itu, terpulang kepada mereka mahu hadir atau sebaliknya. Surat jemputan dibuat tiga hari lalu dan kita masih mempunyai tempoh 10 hari sebelum berlangsung Muktamar Pas di Kelantan,” katanya.
