KUALA LUMPUR 23 Ogos – Sebarang keputusan mengenai strategi dan kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu mengambil kira sentimen tempatan, kata Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, langkah itu bagi memastikan gabungan berkenaan tidak mengambil pendekatan politik yang tidak sesuai dengan realiti memandangkan sentimen di Melaka agak berbeza berbanding di Johor dan Negeri Sembilan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, keputusan mengenai sebarang kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka akan ditentukan kepemimpinan BN negeri, sebelum dimuktamadkan BN Pusat.
“Sentimen akar umbi (mengenai kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka) bercampur-campur. Jadi kita lakukan kajian terperinci.
Jangan masuk ke lubuk di mana keli tidak boleh hidup, ikan sepat tinggal tulang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh memberi ‘isyarat’ supaya BN memilih kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) berbanding Perikatan Harapan (PH).
Dr Muhamad Akmal menegaskan pemilihan kerjasama BN dengan PN bersandarkan kepada hujah kedua-dua parti terbesar Melayu perlu dijalinkan demi penyatuan kaum.
Khamis lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dr Ahmad Maslan, mengesahkan jajaran politik bagi menghadapi PRN Melaka akan dibincang dan diputuskan dalam Mesyuarat MKT pada 28 Ogos ini.
Selain itu, Ahmad Zahid mengajak orang ramai meletakkan kepercayaan kepada gelombang biru untuk menerajui pentadbiran negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini selari aspirasi yang meletakkan asas pembentukan kepemimpinan negara berlandaskan kepada kepercayaan.
“Tanggungjawab kita kini adalah untuk menterjemahkan kepercayaan kepada perkongsian lebih kukuh — kepercayaan kepada undi, kepercayaan kepada ‘gelombang biru’… gelombang baharu yang sedang berlaku di Malaysia, insya-Allah.
“Peluang yang lebih besar dan kemakmuran yang dikongsi bersama. Faham tak apa, tak faham tak apa,” katanya dalam nada berseloroh.
Pada 1 Ogos lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, mandat dan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan turut membawa gelombang untuk meneruskan gelombang biru dan biru pekat yang sudah bermula di Johor.
Beliau turut memberi jaminan gelombang sama akan terus menular ke PRN Melaka.
Nnn
