KUDAT 23 Ogos – Pencarian selama kira-kira 10 tahun berakhir apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Ruddy Awah, 58, hari ini sah memeluk Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah bersama isteri Datin Seri Asiah Udin, 56 dan anak bongsunya, Aswady Ruddy, 24.
Lafaz dua kalimah syahadah itu dibimbing Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman.
“Hari ini bersejarah buat saya, isteri dan anak. Kami selamat mengucap dua kalimah syahadah dipimpin Mufti Sabah serta disaksikan pelbagai pihak dan tetamu yang hadir.
“Bagi saya, ini semua hidayah yang sampai. Apabila hidayah itu tiba, perasaan saya amat gembira sekali sewaktu mengucap dua kalimah syahadah tadi,” kata Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah itu kepada pemberita di kediamannya di Kampung Salimpodon Laut Pitas, di sini, hari ini.
Menurut Ruddy, beliau bersama isteri sudah hampir 40 tahun mendirikan rumah tangga mula mencari pegangan hidup dan hala tuju agama sebenar sejak kira-kira 10 tahun lalu.
“Apabila memilih memeluk Islam, pengalaman hidup itulah yang saya kejar. Apa sahaja yang ada di dunia ini hanya bersifat sementara. Yang kekal adalah amal ibadat kita.
Kini setelah berada dalam Islam, saya mahu beramal ibadat untuk bekalan akhirat nanti. Kehidupan dunia sudah cukup bagi saya,” katanya.
Selain mempelajari dan mendalami agama daripada guru, imam dan ustaz, katanya dia juga merancang untuk mengerjakan umrah tahun depan bersama isteri dan ahli keluarga.
Sementara itu, Asiah berkata suaminya sudah lama berhasrat memeluk Islam, namun memilih untuk menunggu sehingga hati benar-benar terbuka.
Menurutnya, minat terhadap Islam bermula sejak di sekolah rendah ketika tinggal bersama kakaknya yang beragama Islam di Pitas.
Katanya, walaupun ketika itu belum memeluk Islam, beliau tertarik dengan cara hidup keluarga berkenaan.
Nnnn
