KUALA LUMPUR 4 Jun – Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar Ibrahim bagi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan itu selepas mendapati persoalan yang dikemukakan bersifat spekulatif dan tidak perlu bagi pelupusan kes saman berkenaan serta tidak membabitkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan perlembagaan.
Anwar memohon Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan, termasuk sama ada mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan, menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikan beliau.
Rujukan persoalan undang-undang itu adalah berkaitan saman sivil yang difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung satu insiden yang berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.
Susulan keputusan itu, mahkamah mengarahkan Anwar membayar kos sebanyak RM20,000 dan memerintahkan kes saman berkenaan diteruskan pada tarikh yang sudah ditetapkan sebelum ini iaitu pada 16 hingga 25 Jun ini.
Dalam keputusannya, Roz Mawar berkata, tindakan sivil tidak membentuk suatu kehilangan kebebasan mengikut Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan (hak kepada nyawa dan kebebasan diri) seperti dibangkitkan Anwar dalam permohonannya.
Beliau berkata, Anwar selaku defendan masih bebas dengan kapasiti undang-undang penuh dan perlindungan prosedur yang tersedia, oleh itu Perkara 5(1) tidak terbabit dan tidak perlu ditafsirkan dalam permohonan itu.
Menurut Roz Mawar, Perkara 8(1) (kesamarataaan di sisi undang-undang) pula, berfungsi sebagai pelindung dan bukan pemberi kekebalan, di mana ia menjamin layanan sama rata di sisi undang-undang, dan bukan pengecualian daripadanya.
Katanya, tindakan plaintif (Muhammed Yusoff) adalah mengikut undang-undang prosedur dan substantif yang sama seperti orang lain, oleh itu tiada isu tafsiran sebenar yang timbul berhubung Perkara 8(1) untuk dirujuk.
“Perkara 39, 40 dan 43 hanya mengagihkan kuasa eksekutif dan tidak memberikan kekebalan peribadi. Tiada perlindungan secara nyata atau tersirat terhadap liabiliti sivil.
“Keheningan perlembagaan mengenai kekebalan harus ditafsirkan memihak kepada kebertanggungjawaban undang-undang yang sama rata. Kesemua peruntukan ini tidak relevan dalam konteks permohonan rujukan perlembagaan oleh defendan.
“Kesimpulannya, soalan yang dicadangkan gagal memenuhi ambang berkanun di bawah Seksyen Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya.
Roz Mawar berkata, persoalan itu bukan persoalan perlembagaan yang sebenar tetapi cubaan mentakrifkan pembelaan tort sebagai isu perlembagaan.
Beliau berkata, mahkamah tinggi yang mendengar saman itu boleh memutuskan tuntutan tort berdasarkan undang-undang biasa.
Katanya, ia adalah spekulatif tanpa bukti gangguan kepada fungsi eksekutif dan bertujuan mencipta kekebalan baharu yang tidak wujud dalam perlembagaan.
Dalam permohonan difailkan firma guamannya yang baharu dilantik, Tetuan Zain Megat & Murad, pada 23 Mei lalu, Anwar meminta mahkamah memutuskan sama ada saman itu akan menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif dan melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang termaktub dalam perlembagaan.
Presiden PKR itu juga mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada prosiding saman itu akan melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman itu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun turut memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi wajib menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada saman itu penyalahgunaan proses atau ancaman kepada kepentingan awam, dan jika ya, sama ada ia perlu digantung atau dibatalkan ‘demi mengekalkan tadbir urus berperlembagaan’.
Nnnn