KHUTBAH Jumaat di Selangor minggu lepas berkaitan ibadah haji. Tajuknya Lambaian Kaabah’. Syukurlah bagi 31,600 yang terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu. Ingatlah masih ramai menanti giliran, ibarat menunggu buah tak gugur.
Ketika ini hampir empat juta pendeposit TH sedang menunggu giliran untuk menjadi tetamu Allah dengan tempoh menunggu sesuatu yang amat ‘mengerikan’.
Jika diselak kenyataan TH tahun lalu, tempoh giliran menunggu untuk menunaikan haji mencecah 148 tahun, dan dijangka dapat dipendekkan menjelang 2030 apabila jumlah jemaah ditingkatkan kepada lima juta berbanding dua juta ketika ini.
Maka bersyukurlah apabila tersenarai sebagai Duyuf al-Rahman 1445H. Manfaatkan sepenuhnya peluang yang mungkin datang sekali seumur hidup itu untuk melaksanakan ibadat dengan tekun dan bersungguh-sungguh.
Ketika anda tergolong dalam senarai 31,600 tetamu Allah, di luar sana ramai yang bersedih dan berduka menunggu giliran yang tak kunjung tiba sedangkan semakin hari semakin dimamah usia, menghampiri penghujungnya. Masa dan usia tidak boleh diundur.
Lebih menyedihkan apabila ada yang tidak sedar keperluan mendaftar untuk menunaikan haji. Sebaik sahaja menjadi pendeposit TH, ia tidak meletakkan diri secara automatik dalam senarai menunggu Memang sedih!
Mungkinkah keinginan untuk menunaikan haji mendorong ada pihak yang cuba masuk ke Makkah melalui visa pelancong atau visa umrah? Pada masa yang sama ada pula agensi yang mengambil kesempatan berani menjanjikan demikian.
Hakikatnya, visa haji diperlukan. Tahun ini lebih ketat aturannya. Visa pelancong, visa umrah, visa perniagaan, visa pelajar dan sebagainya tidak dibenarkan melaksanakan haji kecuali visa haji iaitu visa rasmi bagi setiap negara ataupun mujamalah kepada orang tertentu.
Justeru berita mengenai kira-kira 300 ‘bakal jemaah haji yang terkandas’ di Makkah amat menyedihkan. Entah apa nasib mereka yang dikatakan terpedaya dengan sebuah agensi menawarkan pakej murah menggunakan visa pelancong.
Sama ada mereka sedar atau tidak, menunaikan haji memerlukan visa haji bukan visa pelancong atau umrah. Mereka ini disaran kembali ke tanah air. Atau mereka masih mahu mencuba, kata orang untung sabut timbul untung batu tenggelam.
Andai mereka terlepas bersama dua juta umat Islam yang lain, mungkin itu rezeki tetapi jika tertahan kemudiannya, hadapilah risikonya. Lebih teruk jika ia boleh memberi imej yang tidak baik kepada negara.
Dalam hal ini Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours (Andalusia) Datuk Md Daud Che Ngah mengakui tindakan memasuki Makkah tanpa visa haji untuk menunaikan haji boleh memberi kesan buruk kepada imej negara.
“Bagaimana masih ada jemaah Malaysia yang terlepas melanggar peraturan sedangkan sistem urusan haji kita diiktiraf Arab Saudi malahan menjadi contoh negara-negara lain di dunia,” katanya.
Beliau yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam urusan haji dan umrah termasuk semasa bertugas di TH berkata, walaupun pihak kerajaan memberi peringatan setiap kali musim haji, masih ada yang terpedaya atau berani mencuba.
Dalam hal ini, beliau pernah mencadangkan kepada Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (Jawhar) supaya menerapkan peringatan ini melalui khutbah Jumaat.
“Gunakan khutbah Jumaat untuk memperingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati dengan pihak yang menawarkan peluang untuk menunaikan haji kononnya dengan visa haji tetapi akhirnya visa umrah atau pelancong,” katanya.
Beliau mengakui peringatan itu sering diberikan melalui media cetak dan elektronik tetapi perlu juga diperingatkan melalui medium khutbah Jumaat, di mana ketua keluarga akan lebih berhati-hati supaya tidak terpedaya dengan pelbagai janji.
“Ingatlah menunaikan haji memerlukan visa haji yang sah manakala syarikat yang dibenarkan mengendali jemaah juga perlu kelulusan TH. Jika tidak bersama muassasah TH, pilihlah Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang diiktiraf bukannya terpedaya dengan pakej haji murah atau palsu,” katanya.
Justeru jagalah nama baik Malaysia, sebuah negara yang menjaga peraturan dan undang-undang, patuh dan ikut peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.
Untuk rekod, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan bahawa permit umrah tidak akan dikeluarkan bagi mereka yang tidak mempunyai permit haji yang disahkan antara 16 Zulkaedah (24 Mei) hingga 20 Zulhijah (26 Jun).
Dalam tempoh itu, Kementerian Dalam Negeri akan mengenakan denda SR10,000 (RM12,510) ke atas mereka yang melanggar peraturan itu, termasuk warga Arab Saudi, ekspatriat dan pelawat yang ditangkap memasuki Makkah tanpa permit haji.
Hukuman akan dikenakan kepada sesiapa yang ditangkap memasuki tapak suci Mina, Arafah dan Muzdalifah, stesen kereta api Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat berkumpul jemaah haji, dan pusat kawalan keselamatan sementara.
Ekspatriat yang melanggar peraturan itu akan dihantar pulang ke negara asal dan dilarang memasuki Arab Saudi bagi tempoh yang ditetapkan undang-undang.
Bagi sesiapa yang ditangkap ketika mengambil orang yang melanggar peraturan dan arahan haji adalah penjara sehingga enam bulan dan denda maksimum SR50,000 (RM62,552). Kenderaan yang digunakan juga akan turut dirampas.
Semua itu dilakukan bukan mahu menghalang jemaah untuk menunaikan haji tetapi bagi keselesaan ibadah mereka yang terpilih sebagai Duyuf al-Rahman.
Sebagai manusia, kita hanya mampu berusaha dan berikhtiar. Sudah mendaftar, sudah cukup simpanan, masih sihat tubuh badan. Selebihnya bertawakkal kepada Allah SWT dengan menyerahkan segala urusan kepada-Nya.
Nnnnn
