Fahami tujuan asal penubuhan UiTM

AYER KEROH 24 Mei –  Fahami fakta sebenar tujuan asal penubuhan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan pelbagai andaian, sekali gus meruntuhkan imej institusi pendidikan Bumiputera itu.

Naib Canselor UiTM Prof Dr Shahrin Sahib yang membuat ingatan itu berkata, seseorang yang hendak mengeluarkan kenyataan perlu fikir dahulu sebelum bercakap sesuatu perkara.

“Antara budaya ilmu orang Melayu, (contohnya) dalam budaya pantun, pertama kena fikir pembayang dan kemudian maksud dan ia perlu saling berkait serta jelas. Begitu juga, jika seseorang yang hendak mengeluarkan kenyataan.

Kita tidak boleh lari daripada asas utama di UiTM (yang dikaitkan) dengan Melayu dan Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Mereka yang tidak bertanggungjawab pasti akan cuba mencapai satu matlamat yang memenuhi keperluan mereka sebab setiap daripada kita mempunyai agenda berbeza, tetapi bagi kami di UiTM, jelas fungsi kami sebagai sebuah universiti adalah untuk mendidik anak bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Teknologi dan Media Sosial Dalam Membentuk Minda MADANI, sempena Konvensyen MADANI Melaka 2024, di sini, hari ini.

Shahrin turut menolak dakwaan kononnya UiTM `Akademi Apartheid’ dan menegaskan fungsi universiti awam itu adalah jelas seperti termaktub dalam Akta UiTM (Akta 173) yang tidak langsung mendidik berdasarkan kefahaman pensyarahnya mahu pun pelajarnya.

Katanya, UiTM tidak pernah menafikan mana-mana pihak dalam melahirkan pakar dalam pelbagai bidang, tanpa menafikan hak masyarakat majmuk kepada akses pendidikan sedia ada di negara ini.

“Sejak negara mencapai kemerdekaan, sistem pendidikan di negara ini semakin meluas, malah kerajaan sendiri membenarkan penguatkuasaan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 termasuklah Akta UiTM atau Akta 173.

“Saya boleh katakan peluang pendidikan hari ini lebih daripada apa yang masyarakat memerlukan kerana peluang pendidikan itu sangat luas. Jadi, tak timbul orang yang dinafikan haknya,” katanya.

Shahrin berkata, UiTM jelas dengan fungsinya dalam konteks kerjasama di semua peringkat sehingga ke pelbagai syarikat multinasional dalam dan luar negara.

Katanya, UiTM juga memberi pendedahan kepada semua mahasiswanya mengenai realiti masyarakat majmuk di Malaysia, termasuk daripada kepelbagaian agama dan etnik yang perlu bekerjasama untuk membangunkan kepada negara.

“UiTM langsung tidak mendidik dari segi kefahaman pensyarahnya mahupun anak didiknya (mengenai diskriminasi) jauh sekali, tidak langsung tergambar,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment