Dua kapal tangki terbakar di Selat Hormuz

TEHRAN – Dua kapal tangki minyak mentah terbakar selepas didakwa terkena periuk api di Selat Hormuz ketika usaha diplomatik untuk meredakan konflik antara Tehran dan Amerika Syarikat (AS) terus dijalankan.

Menurut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), kedua-dua kapal itu terbakar ketika negara-negara Teluk mengecam serangan terhadap sebuah kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) Qatar yang dilaporkan berlaku pada Jumaat.

Tiada butiran lanjut mengenai identiti kapal, tahap kerosakan atau jumlah mangsa dalam kejadian itu.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata rundingan melalui pihak pengantara masih diteruskan bagi melaksanakan pelan membuka semula Selat Hormuz dalam tempoh dua hari.

“Perbincangan masih berjalan dan kami berharap AS membuat keputusan yang bijak untuk memberi peluang kepada diplomasi,” katanya.

Sementara itu, Presiden AS Donald Trump sekali lagi menyatakan keyakinan bahawa konflik melibatkan Iran akan berakhir dalam masa terdekat.

Menurut Trump, perang itu akan tamat “tidak lama lagi, sama ada melalui perjanjian atau cara lain”, sambil memberi amaran bahawa Tehran perlu mencapai persetujuan dengan Washington.

Presiden AS itu sebelum ini turut berkata rundingan dengan Iran berjalan lancar, namun tidak tergesa-gesa untuk memuktamadkan sebarang perjanjian damai.

Related posts

Leave a Comment