IOWA – Tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) terhadap kepimpinan Iran mungkin telah menyukarkan usaha mencari penyelesaian melalui rundingan, kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Beliau bagaimanapun terus mempertahankan kempen ketenteraan Washington terhadap Tehran dan menegaskan bahawa konflik itu tercetus akibat tindakan Iran dan bukannya AS.
Berucap pada perhimpunan penyokong Parti Republikan di Dubuque, Iowa, menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS, Trump mendakwa Iran telah lama mengancam kepentingan AS, termasuk sejak Revolusi Iran pada 1979.
Beliau turut mengaitkan Tehran dengan pelbagai serangan terhadap tentera serta kepentingan AS di Asia Barat.
Trump juga mempertahankan tindakan AS yang membunuh komander kanan Iran, Qasem Soleimani, dalam serangan dron di Baghdad pada 2020, dengan menyifatkan operasi itu sebagai sebahagian daripada usaha melindungi kepentingan keselamatan AS.
Menurutnya, AS kini berada di kedudukan lebih kukuh selepas berjaya melemahkan pelbagai aset ketenteraan Iran.
Beliau mendakwa operasi ketenteraan Washington telah menjejaskan keupayaan tentera laut dan tentera udara Iran, selain merosakkan sistem pertahanan negara itu.
Dalam pada itu, Trump mengakui tindakan yang menyasarkan kepimpinan Iran mungkin membawa kesan yang tidak dijangka terhadap saluran diplomatik yang masih ada.
“Barangkali kami telah bertindak terlalu jauh terhadap barisan kepimpinan mereka. Sekarang agak sukar untuk mencari pihak yang boleh diajak berbincang,” katanya.
Namun, beliau menegaskan AS tidak akan mengubah pendiriannya dan berikrar untuk meneruskan tekanan terhadap Iran sehingga konflik itu ditamatkan.
