Babi atau itik, manusia bertanggungjawab

SIAPA sebenarnya yang benar? Babi atau itik? Ada yang secara sinis berkata babi punya kumbahan, itik dapat nama, seperti lembu punya susu sapi dapat nama. Semua ini gara-gara pencemaran merentasi negeri, dari Pulau Pinang ke Kedah.

Dilaporkan berlaku pencemaran Sungai Air Merah dan Sungai Kulim di Kedah akibat ladang ternakan di Bukit Mertajam, Seberang Perai Pulau Pinang. Mulanya babi dipersalahkan dan tidak sampai 24 jam, itik pula jadi punca.

Terdapat percanggahan kenyataan antara Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, dan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol.

Sharifah Zakiah pada 18 Februari 2024 melaporkan, ladang ternakan babi di perkampungan Sungai Lembu di Pulau Pinang dikenal pasti sebagai punca pencemaran Sungai Air Merah dan Sungai Kulim di Kedah.

Pada hari yang sama juga Fahmi memberitahu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mengarahkan penternak babi di perkampungan Sungai Lembu di sini menutup operasi selepas semakan mendapati ladang itu gagal memperoleh lesen secara sah untuk beroperasi.

Pada hari berikutnya, 19 Februari 2024, Fahmi mengeluarkan kenyataan bahawa pencemaran di kedua sungai tersebut berpunca dari ladang ternakan itik, bukannya ladang ternakan babi.

Jadi mana satu yang betul? Babikah yang benar atau itik yang betul? Hakikatnya babi dan itik tetap bersalah.

Menurut Pengarah JPV Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab, siasatan mendapati ladang itik itu beroperasi sejak 15 tahun lalu dan tidak memperoleh lesen menternak. Ada kemungkinan pemilik perlu pindahkan 100,000 ekor itik mereka.

“Apa yang penting, dia (pemilik) perlu betulkan (sistem) kumbahan dan tidak meneruskan aktiviti pelepasan buangan secara terus ke dalam parit ataupun sungai,” katanya.

Sama ada babi atau itik yang menjadi mangsa percanggahan punca pencemaran ini, Isu utama adalah pencemaran. Di mana pihak berkuasa? Di mana penguatkuasaan sehingga ladang ternakan gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan, tidak berlesen untuk beroperasi?

Jika lesen operasi tidak ada, apa lagi yang boleh diharapkan supaya pengusaha tidak melanggar peraturan-peraturan lain yang sewajarnya diikuti?

Hakikatnya isu pencemaran ternakan babi ini bukanlah satu isu baharu di Pulau Pinang. Sejak era Ketua Menteri Dr Lim Chong Eu sudah wujud. Ada rakan-rakan yang berkata sejak mereka masih budak sekolah, pencemaran ini berlaku.

Menyelak kembali kenyataan 2020, ketija itu Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan negeri Dr. Norlela Ariffin berkata, sebanyak 26 ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor didapati membuang sisa kumbahan dan najis secara terus ke dalam sungai di kawasan itu.

Menurut Dr. Norlela pada ketika itu, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah merujuk pemilik ladang babi itu ke mahkamah sementara menunggu Enakmen serta Peraturan Penternakan Babi Negeri Pulau Pinang 2020 dikuatkuasakan, tahun 2021.

“Menerusi enakmen itu juga, tindakan perobohan ladang-ladang penternakan babi yang tidak mengikuti syarat termasuk membuang sisa ke dalam sungai boleh diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya Dr Norlela ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Nampaknya kawasan yang sama berlaku pencemaran. Orang Tanjong kata pi mai pi mai tang tu. Pihak berkuasa tempatan (PBT) sama ada yang bertaraf Majlis Perbandaran atau Dewan Bandaraya perlu lebih peka dengan aduan orang awam.

Adalah mustahil, masyarakat sekeliling tidak pernah membuat aduan berhubung pencemaran termasuk bau busuk yang melanda kawasan mereka.

Jika tidak ada aduan, pihak-pihak berkenaan perlu lebih peka dengan memantau ladang-ladang berkenaan terutama di kawasan yang dianggap ‘popular’ dengan aktiviti itu. Operasi berkala atau mengejut perlu dilakukan. Sentiasa ‘turun padang’.

Sikap kurang peduli menyebabkan banyak kilang atau premis haram di kawasan berhampiran sungai beroperasi sesuka hati yang akhirnya hasil sisa ternakan mencemarkan sumber air.

Tidak ada kesudahannya jika babi, itik, ayam atau lembu ‘dipersalahkan’ sebaliknya manusia yang diberi kuasa perlu lebih bertanggungjawab. Tidak harus ada kompromi terhadap isu-isu pencemaran.

Jika manusia terus gagal menunaikan tanggungjawabnya, maka isu ini akan terus kedengaran pada masa depan. Babi, itik, ayam atau apa sahaja ternakan hanya menuruti apa yang manusia sediakan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment