Selamat dikebumikan di sebelah kubur isteri

KUCHING 22 Feb. – Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri, Abdul Taib Mahmud dikebumikan dengan istiadat penghormatan negeri pada pukul 1.50 tengah hari ini di Tanah Perkuburan Demak.

Kira-kira 1,000 ahli keluarga, kenamaan, pegawai kerajaan serta orang awam memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Pengebumian negarawan Sarawak itu turut disaksikan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, anakanda baginda, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan Yang di-Pertua Negeri, Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Hadir sama Premier Sarawak, Abang Johari Abang Openg serta tiga timbalannya, Douglas Uggah Embas, Awang Tengah Ali Hasan dan Dr Sim Kui Hian.

Terdahulu, jenazah Allahyarham ditempatkan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada pukul 7.50 pagi bagi membolehkan rakyat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak selama 32 tahun.

Pada pukul 11.30 pagi, jenazah dibawa ke Masjid Demak Jaya dan solat jenazah yang diketuai Imam Besar Negeri Sarawak, Mustapha Kamal Ahmad Fauzi dijalankan selepas waktu Zohor.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah turut menyertai solat jenazah bersama anakanda baginda, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan Abang Johari.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dikebumi di sebelah kubur isterinya, Allahyarham Laila Taib yang terletak bersebelahan masjid berkenaan.

Abdul Taib meninggal dunia pada pukul 4.40 pagi semalam di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada usia 87 tahun.

Beliau diterbangkan ke Kuala Lumpur pada 10 Februari lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut, selepas keluar dari unit rawatan rapi (ICU) Pusat Perubatan Pakar Normah, Petra Jaya.

Related posts

Leave a Comment