JEDDAH 27 April – Individu yang memegang pelbagai jenis visa yang tiba dari mana sahaja dibenarkan untuk menunaikan ibadah umrah dan ziarah kecil.
Kementerian Haji dan Umrah dalam catatan X memaklumkan ibadah umrah boleh diakses oleh pemegang semua visa, termasuk peribadi, keluarga, transit, buruh dan e-visa.
Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, kerajaan Arab Saudi memperkenalkan pelbagai kemudahan untuk umat Islam dari luar untuk datang ke negara itu bagi menunaikan umrah.
Inisiatif itu bertujuan untuk menampung berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia yang menunaikan umrah, terutama mereka yang mungkin tidak dapat menyertai haji tahunan kerana kekangan fizikal atau kewangan.
Penambahbaikan terkini termasuk memanjangkan tempoh visa umrah daripada tempoh 30 hingga 90 hari, membenarkan kemasukan melalui semua pelabuhan darat, udara dan laut serta menghapuskan keperluan untuk jemaah wanita ditemani oleh penjaga lelaki.
Selain itu, ekspatriat di negara Majlis Kerjasama Teluk dan pemegang visa Schengen, Amerika Syarikat dan United Kingdom kini boleh menempah janji temu umrah melalui aplikasi Nusuk sebelum tiba di Arab Saudi.
Sementara itu, Kementerian Haji dan Umrah turut mengeluarkan amaran kepada bakal jemaah haji mengenai penipuan syarikat haji yang mengiklankan perkhidmatan tanpa kebenaran di media sosial untuk haji 2024.
Jemaah diingatkan visa haji yang sah diperlukan, hanya boleh diperoleh melalui pihak berkuasa Arab Saudi atau saluran rasmi yang diiktiraf.
Kementerian itu juga memuji usaha kerjasama dengan pihak berkuasa tertinggi Iraq untuk haji dan umrah yang membawa kepada penahanan lebih 25 pengendali yang terbabit dalam penipuan.
Orang ramai diminta supaya sentiasa berwaspada dan melaporkan iklan perkhidmatan haji yang mencurigakan, dan untuk mendapatkan maklumat tepat boleh merujuk laman web rasmi kementerian dan akaun media sosial.
