HULU SELANGOR 27 April – Masa untuk Barisan Nasional (BN) membalas jasa Pakatan Harapan (PH), khususnya PKR, Amanah dan DAP yang telah membantu calon UMNO pada beberapa siri pilihan raya sebelum ini.
Begitu kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu yang akan turut ditandingi calon PH dari DAP Pang Sock Tao pada pengundian 11 Mei ini.
Katanya PKR, Amanah dan DAP telah mendukung dan memberi sokongan kepada calon UMNO pada siri PRK DUN Tioman, DUN Pelangai dan Parlimen Kemaman.
Justeru Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri itu akan menggerakkan jentera BN untuk membantu calon PH yang mendukung Kerajaan Perpaduan.
“Itu prinsip kita yang awal lagi sudah dinyatakan, jadi kita dah gerak jentera UMNO dan MIC untuk jaga lapan PDM (pusat daerah mengundi), termasuk menyantuni komuniti orang Asli, pengundi dari parti kami dan juga pengundi Melayu tidak berparti.
“Kita akan sokong yang mewakili Kerajaan Perpaduan, prinsip kami jika kerusi itu dipunyai oleh salah satu parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, maka kita menghormati formula untuk berikan kerusi itu pada parti berkenaan, kecuali jika terdapat swap dan faktor lain,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas mengiringi calon Kerajaan Perpaduan, Sock Tao ke pusat penamaan calon PRK KKB di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini.
Mengulas mengenai pendirian MCA sebelum ini yang tidak akan berkempen pada PRK KKB sekiranya calon BN tidak diletakkan bertanding di situ, Ahmad Zahid berkata beliau yakin di peringkat negeri, MCA akan menggerakkan jentera mereka di peringkat bahagian dan DUN, untuk membantu calon Kerajaan Perpaduan.
“Kita faham perasaan MCA, insya-Allah bila kedinginan meliputi perasaan, saya fikir suasana akan berubah, kita tidak jangka (bila MCA akan mula turun bantu kempen) tapi saya fikir UMNO-MCA dua sahabat lama sejak 1974, dan saya fikir ia akan dapat disantuni dengan baik,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai tular rakaman lama calon Kerajaan Perpaduan, Sock Tao yang didakwa mengutuk BN, Ahmad Zahid berkata itu adalah tindakan jahat pihak pembangkang.
“Kalau nak ulang (video lain) banyak lagi, tapi dalam perkara ini yang ada di hadapan kita ialah kita tutup buku lama, buka buku baharu dan cari pendekatan terbaik,” katanya.
PRK KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini manakala pengundian awal pada 7 Mei.
Nnnn
