SELAMAT tinggal Istana Negara. Berakhir sudah tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) XVI. Baginda kini kembali bersemayam di Istana Abu Bakar, Pahang.
Al-Sultan Abdullah 65, dilantik lebih awal sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas Sultan Muhammad V dari Kelantan yang bersemayam mulai 13 Disember 2016 meletakkan jawatan sebagai YDPA XV pada 6 Januari 2019.
Menyelak kembali pelantikan Al-Sultan Abdullah, sesuatu yang menarik perhatian adalah baginda merupakan ‘Sultan termuda’ dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas 15 hari naik takhta sebagai Sultan Pahang VI.
Baginda diputuskan menggantikan Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah berkuatkuasa 11 Januari 2019 dan dimasyhurkan pada 15 Januari tahun yang sama.
Seminggu kemudian, Majlis Raja-Raja dalam Mesyuaratnya ke 251 (Khas), pada 24 Januari mengisytiharkan Al-Sultan Abdullah dipilih menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, selama tempoh lima tahun, mulai 31 Januari 2019.
Walaupun ‘Sultan termuda’ sebagai YDPA, hakikatnya baginda sudah sebati sebagai Sultan apabila anak keempat daripada tujuh beradik itu dilantik sebagai Tengku Mahkota Pahang pada 1 Julai 1975 dan dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977.
Ketika berusia 20 tahun, baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada 28 April 1979 selepas ayahandanya, Sultan Ahmad Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-VII, untuk tempoh lima tahun, disusuli sekali lagi pada 28 Disember 2016.
Justeru walaupun ‘berpengalaman’ naik takhta Pahang hanya 15 hari, baginda sarat dengan pengalaman sebagai ketua negeri untuk tempoh yang agak panjang dan sedikit sebanyak ia banyak membantu baginda dalam tempoh lima tahun lalu.
Sesuatu yang menarik juga, baginda adalah YDPA pertama berdepan dengan suasana politik yang ketika itu semakin mencabar selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018 yang menyaksikan perubahan landskap politik negara.
Pada PRU itu, Pakatan Harapan (PH) berjaya meranapkan penguasaan Barisan Nasional (BN) selama 63 tahun dan calon Perdana Menteri PH, Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh.
Tidak sampai setahun selepas PRU, Al-Sultan Abdullah ‘memasuki’ Istana Negara, dan tidak terduga, dalam tempoh penggal pemerintahan itu, baginda ‘berurusan’ dengan empat Perdana Menteri serta empat jemaah menteri yang berlainan.
“Beta bermula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ke-7. Namun pada 24 Februari 2020, buat pertama kalinya beta dibawa ke kancah gelanggang kemelut politik tanah air, menerusi peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7.
Selaras dengan kuasa budi bicara yang diberikan kepada beta oleh Perlembagaan Persekutuan, beta selanjutnya mendapati Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 1 Mac 2020.
“Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 juga telah meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021. Beta sekali lagi terpaksa menggalas amanah berat untuk memilih dan melantik perdana menteri yang baharu.
“Beta selanjutnya telah berpuas hati bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memperoleh kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan selayaknya dilantik menjadi Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal Parlimen Ke-15, pada 13 Februari 2023.
Bagaimanapun, Ismail Sabri pula memohon perkenan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sebelum Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022.
Malangnya PRU15 tidak menamatkan kemelut politik negara selepas tiada parti mendapat majoriti mudah 112 kerusi Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan dan buat pertama kali, Malaysia berdepan dengan situasi Parlimen tergantung.
“Makanya, sekali lagi amanah berat untuk memilih dan melantik seorang perdana menteri terpaksa digalas oleh beta. Betapa berat mata yang memandang, tetapi berat lagi bahu yang memikul,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah mengambil pendekatan membuka seluas-luasnya ruang kepada ahli Dewan Rakyat bermuafakat dan mencari kesepakatan atas prinsip perpaduan, bagi membolehkan baginda melantik perdana menteri dalam kalangan Ahli Parlimen yang memperoleh kepercayaan majoriti Dewan Rakyat.
“Setelah mengambil pendekatan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, pada 24 November 2022 beta berkenan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
“Secara ikhlas, beta berharap Perdana Menteri ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta, sebelum beta berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur. Namun, ini semuanya adalah ketentuan Allah SWT. Manusia merancang, Allah menentukan segalanya,” titah baginda.
Bagaimanapun hasrat baginda dikatakan tidak kesampaian apabila menjelang berakhirnya pemerintahan baginda, timbul desas-desus kononnya Kerajaan Perpaduan akan dicabar melalui ‘Langkah Dubai’ seperti didedahkan J-Kom.
Khabarnya ketika itu pembangkang bersedia mengambil alih kerajaan dengan pelbagai formula yang sedikit sebanyak menyebabkan kegusaran banyak pihak khususnya parti politik. Isu rancangan ini didedahkan oleh J-Kom tetapi tidak menjadi kenyataan.
Dan sehingga beberapa hari lalu, baginda sekali lagi berharap tiada pelantikan baharu Perdana Menteri.
“Insya-Allah, jika tiada aral atau ‘langkah-langkah lain’ dalam dua hari akan datang, beta akan tamatkan pemerintahan bersama Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim,” titah baginda.
Kini hasrat baginda menjadi kenyataan apabila sehingga keberangkatan pulang baginda ke Pahang, tiada majlis angkat sumpah jawatan Perdana Menteri baharu.
Apakah pula episod seterusnya? Perkembangan baharu politik akan terus berlaku. atas nama demokrasi. Kita tunggu apa pula agenda parti politik dan cabaran yang bakal dihadapi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama tempoh lima tahun bermula esok.
Parti politik pastinya akan memasuki episod baharu menjelang satu lagi PRU yang bakal menjadi tumpuan dalam tempoh pemerintahan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Nnnn
