Menteri Kesihatan UK letak jawatan

LONDON: Menteri Kesihatan Britain, Matt Hancock memutuskan untuk meletak jawatan, sehari selepas memohon maaf kerana melanggar sekatan pergerakan berikutan gambarnya memeluk mesra serta mencium seorang wanita disiarkan sebuah akhbar.

Surat peletakan jawatan itu dihantar kepada Perdana Menteri, Boris Johnson dan Johnson menerima peletakan jawatan Hancock dengan rasa sedih.

Dalam surat berkenaan, Hancock berkata, beliau mengamb tanggungjawab dengan apa yang berlaku.

Katanya, semasa pandemik, rakyat meletakkan harapan tinggi kepadanya dan beliau berhutang kepada mereka dalam situasi berkenaan.

Dalam pada itu, Downing Street memaklumkan, bekas Canselor, Sajid Javid akan menggantikan Hancock untuk jawatan berkenaan.

Sebelum ini, akhbar tabloid memaparkan gambar menunjukkan Hancock yang sudah berkahwin dan seorang pembantu kanan berpelukan dan bercium di sebuah pejabat di Jabatan Kesihatan.

Gambar itu didakwa diambil daripada kamera litar tertutup (CCTV) pada 6 hingga 11 Mei sebelum peraturan sekatan pergerakan dilonggarkan untuk membolehkan pelukan dan hubungan fizikal lain di luar rumah sendiri.

Hancock segera memohon maaf selepas gambar itu tular dan mengakui melanggar sekatan pergerakan.

Pihak pembangkang pula mahu Hancock dipecat kerana secara terang-terangan melanggar perintah sekatan.

Selama berminggu-minggu Hancock menerima tekanan sejak bekas pembantu Perdana Menteri, Dominic Cummings menuduhnya menyebabkan kegagalan kerajaan dalam mengawal wabak Covid-19 di UK.

Related posts

Leave a Comment